Khamis, Julai 27, 2017

Cerpen

Sejernih Air Mata Liyana




Ramadhan yang dinanti tiba jua. Menyubur kembali rasa tanggungjawab dan ibadah kepada-Nya. Bulan yang dibuka segala pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Juga bulan yang dikaitkan dengan penurunan Al-Quran yang menjadi petunjuk manusia.
Bagi Liyana, bulan Ramadhan kali ini disambut dengan penuh rasa keinsafan di hatinya. Seperti kebiasaan, setangkai doa dan fatihah dikirimkan kepada arwah ibunya. Tidak lupa juga buat ayahnya agar dibuka pintu hatinya.
Liyana masih bermonolog sendiri dengan hati dan perasaannya tatkala selesai bertarawih. Dia tercari-cari sinar kebahagiaan dan kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menyelami perasaan hatinya. Tanpa disedari, ada titisan air jernih yang keluar dari kelopak matanya.
“Celaka punya anak! Aku dah suruh kejut bukannya nak kejut. Bulan puasa macam ni saja nak buat darah aku naik!”
Liyana tersentak. Bungkam dengan kata-kata itu. Segera dia mengesat air matanya.
“Kalau aku tahu macam ini, kecil-kecil lagi aku dah picit-picit hidung kau. Biar mampus! Hidup pun menyusahkan aku saja!”
Kata-kata Pak Hassan benar-benar menusuk di dadanya, menghiris hati dan perasaannya. Liyana terlalu faham dengan perangai panas baran ayahnya. Silap sedikit sahaja dijerkah, dimaki hamun. Namun, jauh dilubuk hatinya, dia akui kesalahannya. Dia terlewat lima minit untuk mengejutkan ayahnya yang terlena di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang.
Kadang kala Liyana bosan dengan hidupnya. Pedih di hati dikunci teguh. Persoalan demi persoalan silih berganti memenuhi lautan fikirannya, bertandang mengetuk hatinya.
“Ayah terlalu memilih kasih!” bentak hati kecilnya.

********* *

Pepohon rimbun menentang kehangatan udara petang itu. Angin sepoi-sepoi bahasa melenakan Liyana di ruang tamu.

“Yana! Yana! Kau pekak ke? Aku ni terpekik, terlolong, kau buat tak tahu saja.”
Liyana tersentak. Segera dia bangun dan mendapatkan ayahnya.
“Maaf ayah. Yana letih. Tertidur.”
“Aku ingatkan dah mampus tadi. Nah, ambil ni! Mi laksa dengan bahan masakannya. Petang nanti buatkan laksa untuk si Farah tu. Dah berhari-hari sebut tentang laksa saja. Nanti kempunan pula dia. Masak tu sedap-sedap sikit. Biar berselera dia berbuka puasa nanti,” kata Pak Hassan sambil menjeling tajam ke arah Liyana.
“Kalau Farah, si bodoh dungu tu minta apa pun dapat. Kalau akulah, jangan mimpi. Menangis air mata darah sekali pun belum tentu,” bisik hati kecil Yana.
Memang selama ini, Liyana tidak disenangi oleh ayahnya. Pada ayah, Liyana membebankan. Dia sendiri tidak tahu apakah puncanya. Bermacam persoalan yang sering bermain dikotak fikirannya selama ini. Namun, tidak pernah terjawab. Bagi ayah, Farahlah pengarang jantungnya. Farahlah yang sering dibelai dan dimanjakan. Dirinya hanyalah bagaikan melukut ditepian gantang. Hati Yana memberontak.
“Ayah tak adil! Tak adil dalam membahagikan kasih sayang!”
Liyana mengeluh. Keluhnya mendesah panjang. Dia terus beristighfar. Namun, hatinya benar-benar hiba. Tercampak jauh ekoran kata-kata ayahnya yang begitu berbisa. Perit hatinya. Matanya memandang jauh ke ruang yang kosong.
“Astaghfirullah hal a’zim, Yana. Sabar Yana. Sabar! Bulan puasa ni,” kata Yana sambil mengusap dadanya mengawal perasaan.

**********

Selesai  berbuka puasa, Liyana terus menunaikan solat maghrib. Rukun Islam yang kedua. Selepas solat, dia hanya terperuk di dalam kamar beradunya. Menyiapkan segala kerja-kerja sekolah yang diberikan gurunya. Namun, jiwanya kosong. Terbang melayang bersama angin malam. Terngiang-ngiang kata-kata ayah yang telah menghancurkan hatinya, sekaligus membuatkan dirinya tawar hati untuk bercakap dengan ayah. Malah, dirinya bagaikan terlambung jauh daripada keluarga itu.
“Kalau dah nak belajar sangat, carilah duit sendiri. Tak payah nak harapkan aku. Aku dulu pun tak mengaji juga. Tapi boleh hidup sampai hari ini,” ayah begitu bangga dan tegas melafazkan kata-katanya.
“Itulah ayah. Nak semua anak-anak ayah jadi macam ayah. Kalau ayah jadi jurutera atau doktor, bolehlah Yana ikut. Tapi setakat mampu beli beras sekilo dua, lebih baik tak payah!” suara Yana meninggi.
Pangggggggg!
“Anak kurang ajar! Kau ingat selama ini, siapa yang bagi kau makan? Sekolah pun tak habis lagi dah pandai nak mengajar aku!” jerkah Pak Hassan.
“Sudah! Sudah! Depan rezeki bang. Tak habis-habis nak bertengkar. Awak ni pun satu. Selalu sangat nak mengungkit fasal berhabis duit untuk mengajikan anak-anak. Abang, Timah tak mahu anak-anak ikut jejak langkah kita,hidup susah. Abang tak nampak ke semua itu?” emak menyoal ayah sambil mengesat air matanya yang mula mengalir.
Yana benar-benar rasa bersalah. Memang kata-katanya kepada ayah sewaktu berbuka tadi bersifat biadap. Tetapi hatinya sudah tidak keruan lagi. Tidak tahan dengan sikap ayahnya yang berfikiran cetek itu. Ayah tidak suka ditegur dan paling membuatkan Liyana geram ialah ayah selalu menganggap tindakannya betul.
“Yana! Yana!” 
Liyana tersedar dari lamunannya apabila pintu biliknya diketuk.
“Dah nak masuk isya’ ni. Yana nak ikut mak pergi terawih di masjid tak?” Tanya emak.
“Boleh juga. Mak tunggu Yana sekejap ya. Yana nak bersiap,” balas Yana sambil menguak pintu biliknya.
Mak Timahlah segala-galanya bagi Liyana. Walaupun Mak Timah hanyalah ibu tirinya, kasih sayang Mak Timah tidak pernah berbelah bahagi. Tidak pula seperti ayahnya. Pernah sekali ayahnya mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya dikhalayak ramai. Yana terasa terhina. Jika benar Yana anak sampah mahupun anak pungut, salahkah Yana sebagai seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ayah?

* * * * * * * * * *

Petang itu, Liyana menunggu teman baiknya di sebuah pondok kecil di hadapan sekolah mereka. Sinaran matahari yang terik memancar menyimbah tubuh bumi, sedikit pun tidak mengganggu khayalan Liyana. Pantang diberi peluang, fikirannya hanyut melayang. Husna yang sudah lama tercegat di sisinya sedikit pun tidak diendahkannya.
“Yana! Kau ni kenapa? Asyik termenung saja. Aku panggil dari tadi kau buat tak tahu saja,” tanya Husna, teman baik Liyana.
Liyana yang tadinya tersentak, mula menguntumkan senyuman di bibir mulusnya.
“Dah lama aku tunggu kau. Baru kau nk muncul. Dah, jom balik. Dah petang ni. Nanti bising pula mak aku,” kata Liyana dengan nada slumber,menyembunyikan rasa di hatinya.
“Yana, aku tanya kau ni. Kau ok ke tak? Sejak-sejak ni kau asyik termenung saja. Nak dengar kau bercakap pun susah. Kau ada masalah ke? Kalau ada masalah, beritahulah aku. Share dengan aku. Manalah tahu kalau-kalau aku boleh tolong,” tanya Husna.
Soalan Husna persis debu yang berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.Yana terdiam, tiada jawapan. Hanya langkah kakinya yang longlai sedikit sebanyak dapat menjawab pertanyaan Husna.
“Yana!” nada Husna meninggi.
“Ya, apa?” jawab Yana ringkas.
“Bertubi-tubi soalan aku tanya, kau boleh diam saja. As silent as grave la kau ni. Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya. Tak payah nak berahsia sangat dengan aku. Kitakan dah kawan dari kecil. Macam adik beradik dah. Masalah kau masalah aku juga,” Husna cuba mengorek rahsia Liyana.
“Tak apalah Una. Tak ada apa-apa pun. Aku ok saja ni. Terima kasih sangat-sangat sebab kau caring dengan aku. Sayang kau!” balas Yana sambil menghantar fly kiss kepada Husna.
Husna tersenyum lalu membuat aksi seperti menangkap fly kiss daripada Yana. Mereka kemudian ketawa bersama. Husnalah penghibur hati Liyana. Gelak tawanya menceriakan hari-hari Liyana.
“Yana, petang nanti sebelum berbuka puasa kita pergi bazar Ramadhan jom. Aku teringin pula nak makan bubur lambuk. Nak harapkan kaumasakkan untuk aku, entah bila agaknya boleh dapat,” kata Husna sambil mengusik temannya.
“Ok, boleh juga. Nanti aku temankan kau tapi kau kena belanja aku bubur lambuk juga. Dah lama tak makan. Jangan sampai aku kempunan.” balas Liyana.
“Bergantung pada keadaan jugalah nanti. Kalau ada duit lebih aku belanja kau. Ok lah, Yana. Aku balik dulu. Kirim salam mak kau nanti,” kata Husna.
Liyana meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah. Sesampai sahaja di rumah, Liyana melihat motosikal ayahnya berada di bawah rumah. Sunyi dan sepi saja keadaan di rumahnya.
“Ayah tak keluar ke hari ini? Tapi kenapa rumah sunyi saja?” bisik hati Liyana.
“Mak!Mak!”
Panggilan Liyana tidak dijawab. Pintu rumahnya tidak berkunci tetapi di manakah emaknya? Liyana meluru ke bahagian dapur. Emaknya masih tiada disitu. Liyana terus menuju ke bilik emaknya. Terkejut melihat keadaan emaknya yang menangis tersedu-sedan, Liyana segera menerpa ke arah wanita separuh usia itu.
“Mak, kenapa menangis? Mana ayah? Apa yang ayah dah buat?” soal Liyana.
Namun tiada jawab daripada emaknya. Hanya tangisan yang memecah kesunyian di kamar itu.
“Mak, jawablah. Kenapa mak diam? Ayah mana? Adik-adik?” tanya Yana lagi.
“Ayah masuk hospital, sayang. Sakit buah pinggang ayah dah tahap kronik. Kita kena cari penderma. Kalau tidak ayah tak boleh bertahan lama,” Mak Timah meluahkan segalanya sambil menahan sedu.
Liyana terpaku seketika. Lidahnya kelu. Ada manik putih menempiasi pipinya, mencurah-curah dari tubir matanya. Air matanya mula luruh dari lubuk kesedihan. Ada kesal tersalit di wajahnya. Terngiang-ngiang kata-kata biadapnya terhadap ayah.
“Yana memang anak derhaka! Anak tak guna!” cetus hatinya.

* * * * * * * * * *

            “Una, ayah aku masuk hospital tadi. Sakit ayah aku dah tahap kronik. Aku sedih, Una,” adu Yana kepada Husna.
            “Ya Allah! Betul ke Yana? Doalah banyak-banyak. Mudah-mudahan ayah kau tak apa-apa,” balas Husna.
            “Harap-harap macam itu lah. Raya pun dah nak dekat. Kesian mak dan adik-adik aku nanti. Nampaknya, beraya di hospital lah kami anak-beranak,” sayu kata-kata Yana menusuk ke dalam kalbu.
            “Yana, kuatkanlah semangat kau. InsyaAllah semuanya selamat. Kita berusahalah mencari penderma untuk ayah kau,” kata-kata Husna memberi semangat kepada Yana untuk terus bangkit dari tersungkur.
            “Alamak, Yana! Bubur lambuk dah habislah. Macam mana ni? Kau kempunan ke? Aku belikan makanan lainlah,” kata Husna yang cuba untuk menceriakan keadaan.
            “Eh, tak apalah Una. Aku bergurau saja dengan kau. Aku ni tak adalah sampai nak kempunan sangat dengan makanan kegemaran aku tu. Cukuplah setakat kau sudi dengar cerita-cerita aku,” balas Yana.
            “Ala, kau ni. Apalah sangat. Tak ada rezeki kau hari ini nak merasa bubur lambuk yang aku belanja. Lain kalilah nampaknya. Dah,kau nak beli apa-apa lagi tak? Kalau tak ada,jomlah kita balik. Dah nak maghrib ni,” tanya Husna.
            “Jomlah. Nanti tak sempat pula berbuka di rumah,” jawab Liyana.
           Kesesakan orang ramai di bazar Ramadhan membuatkan mereka terperangkap dengan masa. Sampai sahaja di rumah, azan maghrib berkumandang lunak dari masjid berhampiran.

* * * * * * * * * *

            “Adik tak boleh jadi penderma walaupun secara fizikalnya adik layak. Banyak risikonya nanti. Adik bukanlah penderma yang sesuai yang kami cari,” nasihat Doktor Mukhriz.
            “Tolonglah doktor. Ini sahaja cara yang boleh selamatkan ayah saya. Saya redha. Mungkin ini kali pertama dan terakhir saya membalas jasa ayah saya. Saya masih mempunyai emak dan adik-adik yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ayah. Tolonglah doktor.Saya merayu sangat-sangat. Satu lagi saya minta agar doktor merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ahli keluarga saya.” Liyana merayu.
            Selepas bertemu dengan doktor yang merawat ayahnya, Yana berasa lega. Setidak-tidaknya dia dapat melihat sinar kebahagiaan di wajah emaknya nanti. Husna yang menunggu di luar bilik doktor bingung dengan tindakan Liyana. Sudah banyak kali nasihat diberikan. Namun, pelbagai alasan juga diterima oleh Husna. Akhirnya dia akur dengan keputusan Liyana.
            “Yana, macam mana? Doktor kata apa? Sesuai tak kau jadi penderma ayah kau?” tanya Husna yang mula menunjukkan keresahan.
            “Ok. Doktor kata, aku penderma yang dicari-cari. Sesuai sangat untuk ayah aku. Kau tak payah risaulah. Doakan semuanya berjalan lancar. Tapi kau kena ingat, ini rahsia kita. Jangan sampai family aku tahu akan semua rancangan kita ini,” pinta Liyana.
            “Baiklah, Liyanaku sayang,” jawab Husna sambil tersenyum manis sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
            “Eh, bila operation tu akan dilakukan? Lama lagi ke?” tanya Husna.
             “Dua hari sebelum raya, Una. Seminggu saja lagi. Andainya ini Ramadhan terakhir aku, kau sambutlah hari raya nanti dengan keluarga aku ya. Keluarga aku, keluarga kau juga kan?” kata Liyana.
             “Apa kau merepek ni Yana? Tak eloklah cakap macam tu. Mudah-mudahan semuanya selamat,” doa Husna.

* * * * * * * * * *

Gembira di hati Mak Timah tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kesedihan dan kerisauannya selama ini diserikan dengan berita gembira daripada pihak hospital. Wajahnya kembali ceria setelah saban hari menanti jawapan.
        “Siapalah yang baik sangat dermakan buah pinggangnya untuk ayah. Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa dan pengorbanannya,” kata Mak Timah dengan bersungguh-sungguh.
        “Alhamdulillah, mak. InsyaAllah, ayah akan selamat nanti.” hanya itulah yang mampu Liyana ucapkan walaupun dadanya sebak.
        Yana memandang tepat ke wajah ayahnya dengan penuh harapan. Namun, Pak Hassan tidak mengendahkannya malah menyuruh Liyana untuk pulang ke rumah. Tubir matanya digenangi mutiara yang perlahan mencair ke pipi. Kekecewaan dan kekesalan bertimpa-timpa dalam lubuk hati kecilnya ekoran tindakan ayahnya itu.
        “Abang, Timah balik dulu ya. Esok Timah datang lagi. Anak-anak nak berbuka puasa nanti di rumah. Mari Yana, kita balik dulu,” kata Mak Timah.
        Yana hanya membisu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ayahnya. Namun, ayahnya memalingkan muka ke luar jendela wad tersebut. Hati Liyana bertambah luluh dan kecewa. Dia kemudiannya segara mengekori emaknya ke luar wad.
        “Mak, Yana nak tanya dengan ikhlas. Kalau boleh Yana nak mak jawab dengan jujur.” rayu Yana.
        “Apa dia Yana? Apa yang Yana nak tahu sangat?” soal Mak Timah.
        “Siapa Yana sebenarnya pada ayah? Betul ke Yana ni anak kandung ayah? Kenapa ayah benci sangat dengan Yana? Kenapa mak?” soal Yana.
        “17 tahun mak simpan rahsia ni Yana. Dulu Yana pernah tanya mak juga tapi mak tak yakin Yana akan jadi sekuat macam sekarang. Yana tahukan mak bukan mak kandung Yana? Ibu Yana dah lama meninggal dunia semasa lahirkan Yana. Dia pun kuat macam Yana juga.” terang Mak Timah.
        “Jadi, ayah salahkan Yana atas kematian ibu kandung Yana?” Yana cepat membuat andaian.
        Mak Timah mengangguk perlahan dan meninggalkan Yana yang menangis sendirian. Yana tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi kepadanya. Walau apa pun Yana berasa sangat puas. Persoalan yang selama ini mengganggu dirinya, terjawab juga. Malam itu, Yana tidak dapat melelapkan matanya. Ketika itu hatinya diruntun kepiluan yang begitu menekan. Hanya menghitung hari untuk menanti hari pembedahan. Gelodak resah di dalam dadanya berombak kencang.

* * * * * * * * * *

Hari yang dinanti sudah tiba. Yana berasa tenang semasa dibawa ke bilik pembedahan. Doanya agar pembedahan itu berjaya dengan selamat tidak pernah putus. Husna yang setia di sisi sentiasa memberikan semangat untuknya. Masih lagi Liyana ingat akan kata-kata emaknya sehari sebelum itu, di mana dia meminta izin untuk bermalam di rumah Husna.
         “Tak payahlah Yana. Tidur di rumah ini sahaja. Temankan adik-adik. Mak nak temankan ayah di hospital. Nanti dapatlah kita beraya bersama-sama,” kata Mak Timah.
         “Bolehlah, mak. Kali ini sahaja. Esok mungkin Yana tak dapat nak temankan mak di hospital semasa ayah operation. Ayah pun bukannya suka Yana ada dengan dia. Jadi, Yana ingat Yana nak luangkan masa dengan Una. Una pun sendirian di rumah. Boleh ya mak. Kalau ayah dah sihat nanti Yana datang jenguk.” pinta Yana.
         Mak Timah tidak dapat menjawab. Lidahnya kelu. Bicaranya mati. Dia begitu faham akan perasaan anak gadis itu. Sangkaannya Yana benar-benar bermalam di rumah Husna.
         “Yana kuatkan hati kau ya. Aku akan sentiasa doakan kau. Aku tunggu kau sampai kau sedar semula nanti.” kata-kata Husna memberi kekuatan kepada Liyana sebelum dia masuk ke bilik pembedahan.
         Satu kucupan mesra dihadiahkan di dahi Liyana sebagai tanda setia kasih persahabatan mereka. Husna menyeka air mata yang mula mengalir di pipinya tanpa disedari.

* * * * * * * * * *

Hampir 8 jam mereka bertarung nyawa di bilik pembedahan. Cahaya lampu yang menyinar menikam anak mata Liyana. Matanya teras begitu lemah. Tekaknya kering. Tiada siapa yang berada di sisinya ketika itu. Jiwanya kosong. Tiba-tiba tangannya terasa disentuh lembut.
          “Una…,” suara Liyana lemah.
          Bibirnya mengukir secebis senyuman yang penuh dengan pengertian tatkala melihat kesemua teman baiknya di sisi di saat dia memerlukan sokongan. Liyana merenung setiap anak mata teman-temannya itu. Pandangannya redup. Husna, Adam dan Faris membalas dengan senyuman yang penuh keikhlasan.
         “Aku minta maaf Liyana sebab beritahu mereka tentang hal ini.” ujar Husna.
         “Tak apalah, Una. Aku tak kisah pun. Una, ayah aku macam mana? Kau dah tengok ayah aku?” tanya Liyana dengan lemah.
         “Dah.” jawab Husna ringkas.
         “Ayah kau ok. Dah sedar dah pun.” sambung Adam.
         Yana tersenyum pilu.
         “Yana, kau nak makan bubur lambuk? Aku buatkan untuk kau,” kata Husna sambil menunjukkan bubur lambuk yang dibawanya.
         Liyana sekadar mengangguk lemah. Husna menyuapkan bubur tersebut ke dalam mulut Liyana. Namun hanya dua, tiga suap sahaja. Liyana kemudian menggeleng tanda sudah tidak mahu.
         “Una, kau rasa sempat tak aku sambut hari raya dengan family aku?” tanya Liyana tersekat-sekat.
         Husna terdiam.Terpaku dengan kata-kata Liyana.Suara Liyana semakin lemah.
         “Adam, Faris, Una, aku rindu sangat nak bersama-sama macam ini. Ingat lagi tak, dulu kita selalu nyanyi lagu ‘Perjuangan’ bersama-sama. Boleh tak nyanyikan lagu itu untuk aku buat kali terakhir?” pinta Liyana dengan penuh harapan.
         Husna mengangguk sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Adam dan Faris turut sebak dan menahan egonya daripada air matanya mengalir keluar.
        “Dengan satu perjuangan.. satu perjuangan.. Satu arah tujuan.. Di bawah rahmat Yang Esa.. Kita melangkah seiringan.. Satu perjuangan..,”
        “Ahhh!”
        Bibir Yana terkumat-kamit melafazkan kalimah syahadah. Husna di sisinya membantu dengan membisikkan kalimah syahadah tersebut di telinga Liyana.
        “Yana! Yana!” Husna memanggil kuat nama teman baiknya itu. Tanpa disedari, teman-temannya yang lain juga turut mengalirkan air mata. Hilanglah keegoan mereka kerana seorang sahabat.
        “Innalillah..,” ucap Adam dengan perlahan.
        Doktor Mukhriz yang tercegat di muka pintu hanya memandang sugul wajah mereka. Dia masuk ke dalam wad tersebut dan menyerahkan sepucuk surat kepada Husna.
        “Liyana minta saya serahkan surat ini kepada ibu bapanya melalui Husna,” kata Doktor Mukhriz dengan penuh kesayuan.
        “Fatin Nur Liyana nama yang indah tapi tak seindah nasibnya di dunia ini,” bisik hati kecil Doktor Mukhriz.

* * * * * * * * * *

Husna, Adam dan Faris melangkah masuk ke wad Pak Hassan, ayah Liyana. Husna melulu ke arah Mak Timah dan bersalaman dengannya. Sayup hatinya menyentuh lembut tangan Mak Timah. Hiba hatinya.
         “Mak cik, pak cik, ini ada surat untuk mak cik dan pak cik. Sebelum itu, kami nak minta maaf banyak-banyak,” bicara Husna mati di situ.Air matanya mengalir lagi.
         “Lagi satu pak cik, mak cik, Liyana ada tinggalkan baju raya yang dibelinya pada saya. Jadi, saya serahkan pakaian ini kepada mak cik,” tambah Faris.
         “Liyana? Mana Liyana, Husna?” jerkah Mak Timah yang mula mengalirkan air mata.
         Pak Hassan membisu seribu bahasa. Dia seolah-olah terpukau dengan situasi yang berlaku. Dia keliru. Tangannya pantas membuka sampul surat yang diberikan Husna tadi.
          “Ya Allah, Yana!” hanya jeritan itulah yang kedengaran daripada mulut Pak Hassan. Keegoannya hilang serta merta. Air jernih yang keluar dari kelopak matanya deras mengalir. Diambilnya baju raya Liyana, dipeluk dan dikucup dengan linangan air mata.
          “Maafkan ayah, Yana,” perlahan suara Pak Hassan kedengaran.

* * * * * * * * * *

Matahari pagi Syawal mencuri masuk ke ruang bilik yang sayu itu.Terasa kekosongan dan kehilangan.Itulah hakikat hidup Pak Hassan.Pagi Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh rasa kepiluan.Walaupun Fatin Nur Liyana amat dibencinya dahulu. Namun,atas perjuangan,pengorbanan,semangat dan kasih sayang yang tidak pernah goyah daripada sekeping hati seorang gadis molek,akhirnya anaknya itu tersemat kemas di dalam lubuk hatinya.Al-Fatihah untuk Fatin Nur Liyana Binti Hassan.

Hasil karya oleh :
Nur Atiqa Roslan
Tahun 3
Pengajian Al Quran dan Sunnah

#KeArahMemartabatkanIlmu

Exco Penyelidikan dan Pembangunan
Kelab Sahabat Kembara Ilmu
2016/2017