Khamis, Februari 23, 2017

ONE MONTH ONE ARTICLE (O.M.O.A) - 1

ISU BER’COUPLE’ DALAM KALANGAN MAHASISWA 

   Menurut Freud 1963, 2007; Fehr & Russell 1984; Rubin 1970; Sternberg & Barnes 1988; Sternberg& Weis 2006; Hatfield 1984, 1988; Hatfield & Rapson 1985, cinta adalah satu perkara yang dikaji secara meluas di Barat dan konsep cinta ini masih baharu dikaji secara saintifik di Malaysia. Terdapat sebilangan ahli akademik tempatan yang mengkaji mengenai cinta (Suzana 2009, 2010, 2011; Robiah 1997, 2001; Sidek Noah 1998), walau bagaimanapun, masih banyak lagi kelompongan ruang cinta yang belum diteroka di Malaysia. Pengkaji mendapati terdapat kelompongan yang nyata dengan konsep cinta yang dibawa oleh ahli psikologi Barat, yang mana ia hanya ada dalam konsep cinta yang dibawa oleh para ulama dan ahli psikologi Islam. 
   Menurut Fehr& Russell 1984; Branden 1988, mereka menyatakan perilaku berciuman, bersentuhan dan bersetubuhan adalah keperluan asas dalam menjalin percintaan. Akan tetapi, semua perlakuan cinta tersebut, adalah bertentangan dengan ajaran Islam jika pasangan kekasih belum lagi berkahwin (Malik 1979, 1989; al-Qaradhawi 2003). 
Sekiranya remaja Islam mengambil pendekatan Barat di dalam memahami cinta, maka mereka dengan sejelas-jelasnya melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.Sesuatu yang dianggap normal oleh ahli psikologi Barat, mungkin dianggap normal oleh ahli psikologi Islam. Jadi dalam hal ini, tidak berciuman, tidak bersentuhan dan tidak bersetubuhan di antara pasangan kekasih yang belum berkahwin mungkin dianggap tidak normal oleh ahli psikologi Barat, tetapi ini adalah perlakuan yang normal lagi dituntut dalam ajaran Islam (Malik 1979, 1989). Justeru, kefahaman konsep cinta dari Barat tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk memahami perlakuan cinta dalam kalangan remaja Islam, melainkan modifikasi dan adaptasi perlu dilakukan mengikut norma-norma masyarakat setempat dan ajaran Islam seandainya para psikologi Islam ingin menggunakan alat ujian psikometrik yang telah dibina di Barat. 
Jangan buang waktumu dengan melakukan hal yang tidak perlu. Berfokuslah pada hal yang menjadikan dirimu tumbuh menjadi lebih baik. 
   Kata-kata tersebut menegaskan kita agar menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih menjamin masa depan dari membuang masa dengan perkara yang tidak perlu. Perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri bahkan ia akan menjadikan kita leka dengan dunia yang dicipta sendiri. 
   Gejala ‘couple’ ini boleh dikatakan berleluasa dalam kalangan remaja, para pelajar khususnya mahasiswa universiti. Tidak dinafikan, ber’couple’ boleh mendatangkan kebaikan mahupun keburukan. Ia bergantung kepada pasangan tersebut bagaimana untuk menguruskan hal masing-masing. Bagi mereka yang berkekasih ini, mereka lebih suka membuat perjumpaan terbuka tak kurang juga senyap-senyap kerana takut akan diketahui umum. Sebagai contoh, mereka menjadikan perpustakaan sebagai tempat untuk perjumpaan mereka walhal perpustakaan adalah tempat untuk mencari sumber-sumber ilmiah. 
   Bagi mereka yang tidak ber’couple’, mereka mungkin dianggap kolot dan tidak berfikiran terbuka kerana mereka berpendapat hanya mereka yang tahu bagaimana rasanya bercinta. Perkara sebegini sudah banyak pihak yang mencegah namun ianya terus menrus berlaku sehingga boleh membawa kepada kes penzinaan dan lebih parah lagi pembunuhan. Apabila sudah terlanjur, dan sudah mengetahui diri mereka berbadan dua, maka mereka akan menggugurkan bayi yang dikandung. Menurut Enakmen 3 Tahun 1995, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995, Bahagian IV- Kesalahan, Seksyen 85 iaitu menggugurkan atau membunuh kandungan, sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan dengan niat untuk menggugurkan atau membunuh kandungan sama ada hasil dari pernikahan yang sah atau dari persetubuhan luar nikah, kecuali perbuatan Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai perlu dan tidak boleh dielakkan kerana ia akan memudaratkan perempuan yang mengandung itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali (sumber esyariah.gov.my) . 
   Mereka yang ber’couple’ ini juga rata-rata daripada mereka tidak mendapat sepenuhnya perhatian ibu bapa. Oleh kerana dahagakan kasih sayang, mereka sanggup menjalin hubungan cinta yang dilarang agama khususnya agama Islam. Mereka lebih suka menghabiskan masa bersama pasangan daripada meluangkan masa bersama keluarga. Justeru itu, penting bagi ibu bapa untuk mengambil tahu keadaan anak-anak mereka sama ada di dalam mahupun di luar jagaan mereka.Tidak kurang juga ibu bapa yang tidak mengambil tahu khabar keadaan anak-anak mereka, alasannya anak-anak mereka sudah besar dan pandai menjaga diri. Biarlah anak-anak mereka sendiri yang menentukan haluan hidup masing-masing dan sangkaan ini berterusan hinggalah pihak orang tua mendapat khabar yang menconteng arang ke muka mereka sendiri. Pada masa itu, air mata darah sudah tiada berguna. 
   Di era teknologi canggih sebegini, ramai yang berpendapat bahawa badan pencegah maksiat sebegini tidak perlu dilakukan kerana ianya boleh mengaibkan tertuduh. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, kita perlu beringat di mana ada hadis mengenai pencegahan maksiat ini yang berbunyi:- 
Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah bersabda: 
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” 
( Diriwayatkan oleh Musim: al-Iman, hadis no. 40 )

Hasil karya oleh :

Saudari Nabilah Alyani binti Azhar
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Tahun 2
2016/2017

Sumber :
1. Internet
2. esyariah.gov.my
3. google scholar