Ramadhan yang dinanti tiba
jua. Menyubur kembali rasa tanggungjawab dan ibadah kepada-Nya. Bulan yang
dibuka segala pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Juga bulan yang dikaitkan
dengan penurunan Al-Quran yang menjadi petunjuk manusia.
Bagi Liyana, bulan
Ramadhan kali ini disambut dengan penuh rasa keinsafan di hatinya. Seperti
kebiasaan, setangkai doa dan fatihah dikirimkan kepada arwah ibunya. Tidak lupa
juga buat ayahnya agar dibuka pintu hatinya.
Liyana masih bermonolog
sendiri dengan hati dan perasaannya tatkala selesai bertarawih. Dia
tercari-cari sinar kebahagiaan dan kasih sayang seorang insan yang bergelar
ayah. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menyelami perasaan hatinya. Tanpa disedari,
ada titisan air jernih yang keluar dari kelopak matanya.
“Celaka punya anak! Aku
dah suruh kejut bukannya nak kejut. Bulan puasa macam ni saja nak buat darah
aku naik!”
Liyana tersentak. Bungkam
dengan kata-kata itu. Segera dia mengesat air matanya.
“Kalau aku tahu macam ini,
kecil-kecil lagi aku dah picit-picit hidung kau. Biar mampus! Hidup pun
menyusahkan aku saja!”
Kata-kata Pak Hassan
benar-benar menusuk di dadanya, menghiris hati dan perasaannya. Liyana terlalu
faham dengan perangai panas baran ayahnya. Silap sedikit sahaja dijerkah, dimaki
hamun. Namun, jauh dilubuk hatinya, dia akui kesalahannya. Dia terlewat lima
minit untuk mengejutkan ayahnya yang terlena di ruang tamu beralaskan tikar
mengkuang.
Kadang kala Liyana bosan
dengan hidupnya. Pedih di hati dikunci teguh. Persoalan demi persoalan silih
berganti memenuhi lautan fikirannya, bertandang mengetuk hatinya.
“Ayah terlalu memilih
kasih!” bentak hati kecilnya.
********* *
Pepohon rimbun menentang kehangatan udara petang itu. Angin
sepoi-sepoi bahasa melenakan Liyana di ruang tamu.
“Yana! Yana! Kau
pekak ke? Aku ni terpekik, terlolong, kau buat tak tahu saja.”
Liyana
tersentak. Segera dia bangun dan mendapatkan ayahnya.
“Maaf ayah. Yana letih. Tertidur.”
“Aku ingatkan dah mampus tadi. Nah, ambil ni! Mi laksa
dengan bahan masakannya. Petang nanti buatkan laksa untuk si Farah tu. Dah
berhari-hari sebut tentang laksa saja. Nanti kempunan pula dia. Masak tu
sedap-sedap sikit. Biar berselera dia berbuka puasa nanti,” kata Pak Hassan
sambil menjeling tajam ke arah Liyana.
“Kalau Farah, si bodoh dungu tu minta apa pun dapat. Kalau
akulah, jangan mimpi. Menangis air mata darah sekali pun belum tentu,” bisik
hati kecil Yana.
Memang selama ini, Liyana tidak disenangi oleh ayahnya. Pada
ayah, Liyana membebankan. Dia sendiri tidak tahu apakah puncanya. Bermacam
persoalan yang sering bermain dikotak fikirannya selama ini. Namun, tidak
pernah terjawab. Bagi ayah, Farahlah pengarang jantungnya. Farahlah yang sering
dibelai dan dimanjakan. Dirinya hanyalah bagaikan melukut ditepian gantang. Hati
Yana memberontak.
“Ayah tak adil! Tak adil dalam membahagikan kasih sayang!”
Liyana mengeluh. Keluhnya mendesah panjang. Dia terus
beristighfar. Namun, hatinya benar-benar hiba. Tercampak jauh ekoran kata-kata
ayahnya yang begitu berbisa. Perit hatinya. Matanya memandang jauh ke ruang
yang kosong.
“Astaghfirullah hal a’zim, Yana. Sabar Yana. Sabar! Bulan
puasa ni,” kata Yana sambil mengusap dadanya mengawal perasaan.
**********
Selesai berbuka
puasa, Liyana terus menunaikan solat maghrib. Rukun Islam yang kedua. Selepas
solat, dia hanya terperuk di dalam kamar beradunya. Menyiapkan segala
kerja-kerja sekolah yang diberikan gurunya. Namun, jiwanya kosong. Terbang
melayang bersama angin malam. Terngiang-ngiang kata-kata ayah yang telah
menghancurkan hatinya, sekaligus membuatkan dirinya tawar hati untuk bercakap
dengan ayah. Malah, dirinya bagaikan terlambung jauh daripada keluarga itu.
“Kalau dah nak belajar sangat, carilah duit sendiri. Tak
payah nak harapkan aku. Aku dulu pun tak mengaji juga. Tapi boleh hidup sampai
hari ini,” ayah begitu bangga dan tegas melafazkan kata-katanya.
“Itulah ayah. Nak semua anak-anak ayah jadi macam ayah. Kalau
ayah jadi jurutera atau doktor, bolehlah Yana ikut. Tapi setakat mampu beli
beras sekilo dua, lebih baik tak payah!” suara Yana meninggi.
Pangggggggg!
“Anak kurang ajar! Kau ingat selama ini, siapa yang bagi
kau makan? Sekolah pun tak habis lagi dah pandai nak mengajar aku!” jerkah Pak
Hassan.
“Sudah! Sudah! Depan rezeki bang. Tak habis-habis nak
bertengkar. Awak ni pun satu. Selalu sangat nak mengungkit fasal berhabis duit
untuk mengajikan anak-anak. Abang, Timah tak mahu anak-anak ikut jejak langkah
kita,hidup susah. Abang tak nampak ke semua itu?” emak menyoal ayah sambil
mengesat air matanya yang mula mengalir.
Yana benar-benar rasa bersalah. Memang kata-katanya kepada
ayah sewaktu berbuka tadi bersifat biadap. Tetapi hatinya sudah tidak keruan
lagi. Tidak tahan dengan sikap ayahnya yang berfikiran cetek itu. Ayah tidak
suka ditegur dan paling membuatkan Liyana geram ialah ayah selalu menganggap
tindakannya betul.
“Yana! Yana!”
Liyana tersedar dari lamunannya apabila pintu biliknya
diketuk.
“Dah nak masuk isya’ ni. Yana nak ikut mak pergi terawih di
masjid tak?” Tanya emak.
“Boleh juga. Mak tunggu Yana sekejap ya. Yana nak bersiap,”
balas Yana sambil menguak pintu biliknya.
Mak Timahlah segala-galanya bagi Liyana. Walaupun Mak Timah
hanyalah ibu tirinya, kasih sayang Mak Timah tidak pernah berbelah bahagi. Tidak
pula seperti ayahnya. Pernah sekali ayahnya mengeluarkan kata-kata kesat
kepadanya dikhalayak ramai. Yana terasa terhina. Jika benar Yana anak sampah
mahupun anak pungut, salahkah Yana sebagai seorang anak yang dahagakan kasih
sayang seorang ayah?
* * * * * * * * * *
Petang
itu, Liyana menunggu teman baiknya di sebuah pondok kecil di hadapan sekolah
mereka. Sinaran matahari yang terik memancar menyimbah tubuh bumi, sedikit pun
tidak mengganggu khayalan Liyana. Pantang diberi peluang, fikirannya hanyut
melayang. Husna yang sudah lama tercegat di sisinya sedikit pun tidak
diendahkannya.
“Yana! Kau ni kenapa? Asyik termenung saja. Aku panggil
dari tadi kau buat tak tahu saja,” tanya Husna, teman baik Liyana.
Liyana yang tadinya tersentak, mula menguntumkan senyuman di
bibir mulusnya.
“Dah lama aku tunggu kau. Baru kau nk muncul. Dah, jom
balik. Dah petang ni. Nanti bising pula mak aku,” kata Liyana dengan nada slumber,menyembunyikan rasa di hatinya.
“Yana, aku tanya kau ni. Kau ok ke tak? Sejak-sejak ni kau
asyik termenung saja. Nak dengar kau bercakap pun susah. Kau ada masalah ke? Kalau
ada masalah, beritahulah aku. Share dengan
aku. Manalah tahu kalau-kalau aku boleh tolong,” tanya Husna.
Soalan Husna persis debu yang berterbangan ditiup angin
sepoi-sepoi bahasa.Yana terdiam, tiada jawapan. Hanya langkah kakinya yang longlai
sedikit sebanyak dapat menjawab pertanyaan Husna.
“Yana!” nada Husna meninggi.
“Ya, apa?” jawab Yana ringkas.
“Bertubi-tubi soalan aku tanya, kau boleh diam saja. As silent as grave la kau ni. Cuba kau
cerita apa masalah kau sebenarnya. Tak payah nak berahsia sangat dengan aku. Kitakan
dah kawan dari kecil. Macam adik beradik dah. Masalah kau masalah aku juga,”
Husna cuba mengorek rahsia Liyana.
“Tak apalah Una. Tak ada apa-apa pun. Aku ok saja ni. Terima
kasih sangat-sangat sebab kau caring dengan
aku. Sayang kau!” balas Yana sambil menghantar fly kiss kepada Husna.
Husna tersenyum lalu membuat aksi seperti menangkap fly kiss daripada Yana. Mereka kemudian
ketawa bersama. Husnalah penghibur hati Liyana. Gelak tawanya menceriakan
hari-hari Liyana.
“Yana, petang nanti sebelum berbuka puasa kita pergi bazar
Ramadhan jom. Aku teringin pula nak makan bubur lambuk. Nak harapkan
kaumasakkan untuk aku, entah bila agaknya boleh dapat,” kata Husna sambil
mengusik temannya.
“Ok, boleh juga. Nanti aku temankan kau tapi kau kena
belanja aku bubur lambuk juga. Dah lama tak makan. Jangan sampai aku kempunan.”
balas Liyana.
“Bergantung pada keadaan jugalah nanti. Kalau ada duit
lebih aku belanja kau. Ok lah, Yana. Aku balik dulu. Kirim salam mak kau
nanti,” kata Husna.
Liyana meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah. Sesampai
sahaja di rumah, Liyana melihat motosikal ayahnya berada di bawah rumah. Sunyi
dan sepi saja keadaan di rumahnya.
“Ayah tak keluar ke hari ini? Tapi kenapa rumah sunyi
saja?” bisik hati Liyana.
“Mak!Mak!”
Panggilan Liyana tidak dijawab. Pintu rumahnya tidak
berkunci tetapi di manakah emaknya? Liyana meluru ke bahagian dapur. Emaknya
masih tiada disitu. Liyana terus menuju ke bilik emaknya. Terkejut melihat
keadaan emaknya yang menangis tersedu-sedan, Liyana segera menerpa ke arah
wanita separuh usia itu.
“Mak, kenapa menangis? Mana ayah? Apa yang ayah dah buat?”
soal Liyana.
Namun tiada jawab daripada emaknya. Hanya tangisan yang
memecah kesunyian di kamar itu.
“Mak, jawablah. Kenapa mak diam? Ayah mana? Adik-adik?” tanya
Yana lagi.
“Ayah masuk hospital, sayang. Sakit buah pinggang ayah dah
tahap kronik. Kita kena cari penderma. Kalau tidak ayah tak boleh bertahan
lama,” Mak Timah meluahkan segalanya sambil menahan sedu.
Liyana terpaku seketika. Lidahnya kelu. Ada manik putih
menempiasi pipinya, mencurah-curah dari tubir matanya. Air matanya mula luruh
dari lubuk kesedihan. Ada kesal tersalit di wajahnya. Terngiang-ngiang
kata-kata biadapnya terhadap ayah.
“Yana memang anak derhaka! Anak tak guna!” cetus hatinya.
* * * * * * * * * *
“Una, ayah aku masuk hospital tadi.
Sakit ayah aku dah tahap kronik. Aku sedih, Una,” adu Yana kepada Husna.
“Ya
Allah! Betul ke Yana? Doalah banyak-banyak. Mudah-mudahan ayah kau tak apa-apa,”
balas Husna.
“Harap-harap
macam itu lah. Raya pun dah nak dekat. Kesian mak dan adik-adik aku nanti. Nampaknya,
beraya di hospital lah kami anak-beranak,” sayu kata-kata Yana menusuk ke dalam
kalbu.
“Yana, kuatkanlah
semangat kau. InsyaAllah semuanya selamat. Kita berusahalah mencari penderma
untuk ayah kau,” kata-kata Husna memberi semangat kepada Yana untuk terus
bangkit dari tersungkur.
“Alamak, Yana!
Bubur lambuk dah habislah. Macam mana ni? Kau kempunan ke? Aku belikan makanan
lainlah,” kata Husna yang cuba untuk menceriakan keadaan.
“Eh, tak
apalah Una. Aku bergurau saja dengan kau. Aku ni tak adalah sampai nak kempunan
sangat dengan makanan kegemaran aku tu. Cukuplah setakat kau sudi dengar
cerita-cerita aku,” balas Yana.
“Ala, kau
ni. Apalah sangat. Tak ada rezeki kau hari ini nak merasa bubur lambuk yang aku
belanja. Lain kalilah nampaknya. Dah,kau nak beli apa-apa lagi tak? Kalau tak
ada,jomlah kita balik. Dah nak maghrib ni,” tanya Husna.
“Jomlah. Nanti tak sempat pula
berbuka di rumah,” jawab Liyana.
Kesesakan
orang ramai di bazar Ramadhan membuatkan mereka terperangkap dengan masa. Sampai
sahaja di rumah, azan maghrib berkumandang lunak dari masjid berhampiran.
* * * * * * * * * *
“Adik tak
boleh jadi penderma walaupun secara fizikalnya adik layak. Banyak risikonya
nanti. Adik bukanlah penderma yang sesuai yang kami cari,” nasihat Doktor
Mukhriz.
“Tolonglah
doktor. Ini sahaja cara yang boleh selamatkan ayah saya. Saya redha. Mungkin
ini kali pertama dan terakhir saya membalas jasa ayah saya. Saya masih
mempunyai emak dan adik-adik yang memerlukan perhatian dan kasih sayang
daripada ayah. Tolonglah doktor.Saya merayu sangat-sangat. Satu lagi saya minta
agar doktor merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ahli keluarga saya.”
Liyana merayu.
Selepas
bertemu dengan doktor yang merawat ayahnya, Yana berasa lega. Setidak-tidaknya
dia dapat melihat sinar kebahagiaan di wajah emaknya nanti. Husna yang menunggu
di luar bilik doktor bingung dengan tindakan Liyana. Sudah banyak kali nasihat
diberikan. Namun, pelbagai alasan juga diterima oleh Husna. Akhirnya dia akur
dengan keputusan Liyana.
“Yana, macam
mana? Doktor kata apa? Sesuai tak kau jadi penderma ayah kau?” tanya Husna yang
mula menunjukkan keresahan.
“Ok. Doktor
kata, aku penderma yang dicari-cari. Sesuai sangat untuk ayah aku. Kau tak
payah risaulah. Doakan semuanya berjalan lancar. Tapi kau kena ingat, ini rahsia
kita. Jangan sampai family aku tahu
akan semua rancangan kita ini,” pinta Liyana.
“Baiklah,
Liyanaku sayang,” jawab Husna sambil tersenyum manis sehingga menampakkan
lesung pipit di pipi kirinya.
“Eh, bila operation tu akan dilakukan? Lama lagi
ke?” tanya Husna.
“Dua
hari sebelum raya, Una. Seminggu saja lagi. Andainya ini Ramadhan terakhir aku,
kau sambutlah hari raya nanti dengan keluarga aku ya. Keluarga aku, keluarga
kau juga kan?” kata Liyana.
“Apa kau
merepek ni Yana? Tak eloklah cakap macam tu. Mudah-mudahan semuanya selamat,”
doa Husna.
* * * * * * * * * *
Gembira di hati Mak Timah tak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Kesedihan dan kerisauannya selama ini diserikan dengan berita
gembira daripada pihak hospital. Wajahnya kembali ceria setelah saban hari
menanti jawapan.
“Siapalah
yang baik sangat dermakan buah pinggangnya untuk ayah. Tuhan sahaja yang dapat
membalas jasa dan pengorbanannya,” kata Mak Timah dengan bersungguh-sungguh.
“Alhamdulillah, mak. InsyaAllah, ayah akan
selamat nanti.” hanya itulah yang mampu Liyana ucapkan walaupun dadanya sebak.
Yana
memandang tepat ke wajah ayahnya dengan penuh harapan. Namun, Pak Hassan tidak
mengendahkannya malah menyuruh Liyana untuk pulang ke rumah. Tubir matanya
digenangi mutiara yang perlahan mencair ke pipi. Kekecewaan dan kekesalan
bertimpa-timpa dalam lubuk hati kecilnya ekoran tindakan ayahnya itu.
“Abang, Timah
balik dulu ya. Esok Timah datang lagi. Anak-anak nak berbuka puasa nanti di
rumah. Mari Yana, kita balik dulu,” kata Mak Timah.
Yana hanya
membisu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ayahnya. Namun, ayahnya
memalingkan muka ke luar jendela wad tersebut. Hati Liyana bertambah luluh dan kecewa.
Dia kemudiannya segara mengekori emaknya ke luar wad.
“Mak, Yana
nak tanya dengan ikhlas. Kalau boleh Yana nak mak jawab dengan jujur.” rayu
Yana.
“Apa dia
Yana? Apa yang Yana nak tahu sangat?” soal Mak Timah.
“Siapa Yana
sebenarnya pada ayah? Betul ke Yana ni anak kandung ayah? Kenapa ayah benci
sangat dengan Yana? Kenapa mak?” soal Yana.
“17 tahun mak
simpan rahsia ni Yana. Dulu Yana pernah tanya mak juga tapi mak tak yakin Yana
akan jadi sekuat macam sekarang. Yana tahukan mak bukan mak kandung Yana? Ibu
Yana dah lama meninggal dunia semasa lahirkan Yana. Dia pun kuat macam Yana
juga.” terang Mak Timah.
“Jadi, ayah
salahkan Yana atas kematian ibu kandung Yana?” Yana cepat membuat andaian.
Mak Timah mengangguk perlahan dan meninggalkan
Yana yang menangis sendirian. Yana tidak menyangka perkara seperti ini akan
terjadi kepadanya. Walau apa pun Yana berasa sangat puas. Persoalan yang selama
ini mengganggu dirinya, terjawab juga. Malam itu, Yana tidak dapat melelapkan
matanya. Ketika itu hatinya diruntun kepiluan yang begitu menekan. Hanya
menghitung hari untuk menanti hari pembedahan. Gelodak resah di dalam dadanya
berombak kencang.
* * * * * * * * * *
Hari yang dinanti sudah tiba. Yana berasa tenang semasa
dibawa ke bilik pembedahan. Doanya agar pembedahan itu berjaya dengan selamat
tidak pernah putus. Husna yang setia di sisi sentiasa memberikan semangat
untuknya. Masih lagi Liyana ingat akan kata-kata emaknya sehari sebelum itu, di
mana dia meminta izin untuk bermalam di rumah Husna.
“Tak
payahlah Yana. Tidur di rumah ini sahaja. Temankan adik-adik. Mak nak temankan
ayah di hospital. Nanti dapatlah kita beraya bersama-sama,” kata Mak Timah.
“Bolehlah, mak. Kali ini sahaja. Esok
mungkin Yana tak dapat nak temankan mak di hospital semasa ayah operation. Ayah pun bukannya suka Yana
ada dengan dia. Jadi, Yana ingat Yana nak luangkan masa dengan Una. Una pun
sendirian di rumah. Boleh ya mak. Kalau ayah dah sihat nanti Yana datang
jenguk.” pinta Yana.
Mak Timah
tidak dapat menjawab. Lidahnya kelu. Bicaranya mati. Dia begitu faham akan
perasaan anak gadis itu. Sangkaannya Yana benar-benar bermalam di rumah Husna.
“Yana kuatkan hati kau ya. Aku akan sentiasa
doakan kau. Aku tunggu kau sampai kau sedar semula nanti.” kata-kata Husna
memberi kekuatan kepada Liyana sebelum dia masuk ke bilik pembedahan.
Satu kucupan mesra dihadiahkan di dahi Liyana
sebagai tanda setia kasih persahabatan mereka. Husna menyeka air mata yang mula
mengalir di pipinya tanpa disedari.
* * * * * * * * * *
Hampir 8 jam mereka bertarung nyawa di bilik pembedahan. Cahaya
lampu yang menyinar menikam anak mata Liyana. Matanya teras begitu lemah. Tekaknya
kering. Tiada siapa yang berada di sisinya ketika itu. Jiwanya kosong. Tiba-tiba
tangannya terasa disentuh lembut.
“Una…,” suara Liyana lemah.
Bibirnya mengukir secebis senyuman yang penuh
dengan pengertian tatkala melihat kesemua teman baiknya di sisi di saat dia
memerlukan sokongan. Liyana merenung setiap anak mata teman-temannya itu. Pandangannya
redup. Husna, Adam dan Faris membalas dengan senyuman yang penuh keikhlasan.
“Aku minta maaf Liyana sebab beritahu
mereka tentang hal ini.” ujar Husna.
“Tak apalah,
Una. Aku tak kisah pun. Una, ayah aku macam mana? Kau dah tengok ayah aku?”
tanya Liyana dengan lemah.
“Dah.” jawab
Husna ringkas.
“Ayah kau ok. Dah sedar dah pun.” sambung
Adam.
Yana tersenyum pilu.
“Yana, kau
nak makan bubur lambuk? Aku buatkan untuk kau,” kata Husna sambil menunjukkan
bubur lambuk yang dibawanya.
Liyana
sekadar mengangguk lemah. Husna menyuapkan bubur tersebut ke dalam mulut
Liyana. Namun hanya dua, tiga suap sahaja. Liyana kemudian menggeleng tanda
sudah tidak mahu.
“Una, kau
rasa sempat tak aku sambut hari raya dengan family
aku?” tanya Liyana tersekat-sekat.
Husna terdiam.Terpaku dengan kata-kata
Liyana.Suara Liyana semakin lemah.
“Adam, Faris,
Una, aku rindu sangat nak bersama-sama macam ini. Ingat lagi tak, dulu kita
selalu nyanyi lagu ‘Perjuangan’ bersama-sama. Boleh tak nyanyikan lagu itu
untuk aku buat kali terakhir?” pinta Liyana dengan penuh harapan.
Husna
mengangguk sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Adam dan Faris
turut sebak dan menahan egonya daripada air matanya mengalir keluar.
“Dengan satu perjuangan.. satu perjuangan.. Satu
arah tujuan.. Di bawah rahmat Yang Esa.. Kita melangkah seiringan.. Satu
perjuangan..,”
“Ahhh!”
Bibir Yana
terkumat-kamit melafazkan kalimah syahadah. Husna di sisinya membantu dengan
membisikkan kalimah syahadah tersebut di telinga Liyana.
“Yana! Yana!” Husna memanggil kuat nama
teman baiknya itu. Tanpa disedari, teman-temannya yang lain juga turut
mengalirkan air mata. Hilanglah keegoan mereka kerana seorang sahabat.
“Innalillah..,”
ucap Adam dengan perlahan.
Doktor
Mukhriz yang tercegat di muka pintu hanya memandang sugul wajah mereka. Dia
masuk ke dalam wad tersebut dan menyerahkan sepucuk surat kepada Husna.
“Liyana minta
saya serahkan surat ini kepada ibu bapanya melalui Husna,” kata Doktor Mukhriz
dengan penuh kesayuan.
“Fatin Nur Liyana nama yang indah tapi tak
seindah nasibnya di dunia ini,” bisik hati kecil Doktor Mukhriz.
* * * * * * * * * *
Husna, Adam dan Faris melangkah masuk ke wad Pak Hassan, ayah
Liyana. Husna melulu ke arah Mak Timah dan bersalaman dengannya. Sayup hatinya
menyentuh lembut tangan Mak Timah. Hiba hatinya.
“Mak cik, pak
cik, ini ada surat untuk mak cik dan pak cik. Sebelum itu, kami nak minta maaf
banyak-banyak,” bicara Husna mati di situ.Air matanya mengalir lagi.
“Lagi satu pak cik, mak cik, Liyana ada
tinggalkan baju raya yang dibelinya pada saya. Jadi, saya serahkan pakaian ini
kepada mak cik,” tambah Faris.
“Liyana? Mana
Liyana, Husna?” jerkah Mak Timah yang mula mengalirkan air mata.
Pak Hassan
membisu seribu bahasa. Dia seolah-olah terpukau dengan situasi yang berlaku.
Dia keliru. Tangannya pantas membuka sampul surat yang diberikan Husna tadi.
“Ya Allah, Yana!”
hanya jeritan itulah yang kedengaran daripada mulut Pak Hassan. Keegoannya
hilang serta merta. Air jernih yang keluar dari kelopak matanya deras mengalir.
Diambilnya baju raya Liyana, dipeluk dan dikucup dengan linangan air mata.
“Maafkan ayah, Yana,” perlahan suara Pak
Hassan kedengaran.
* * * * * * * * * *
Matahari pagi Syawal mencuri masuk ke ruang bilik yang sayu
itu.Terasa kekosongan dan kehilangan.Itulah hakikat hidup Pak Hassan.Pagi
Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh rasa kepiluan.Walaupun Fatin Nur
Liyana amat dibencinya dahulu. Namun,atas perjuangan,pengorbanan,semangat dan
kasih sayang yang tidak pernah goyah daripada sekeping hati seorang gadis
molek,akhirnya anaknya itu tersemat kemas di dalam lubuk hatinya.Al-Fatihah
untuk Fatin Nur Liyana Binti Hassan.
Nur Atiqa Roslan
Tahun 3
Pengajian Al Quran dan Sunnah
#KeArahMemartabatkanIlmu
Exco
Penyelidikan dan Pembangunan
Kelab Sahabat Kembara Ilmu
2016/2017
Kelab Sahabat Kembara Ilmu
2016/2017