Khamis, Julai 27, 2017

Cerpen

Sejernih Air Mata Liyana




Ramadhan yang dinanti tiba jua. Menyubur kembali rasa tanggungjawab dan ibadah kepada-Nya. Bulan yang dibuka segala pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Juga bulan yang dikaitkan dengan penurunan Al-Quran yang menjadi petunjuk manusia.
Bagi Liyana, bulan Ramadhan kali ini disambut dengan penuh rasa keinsafan di hatinya. Seperti kebiasaan, setangkai doa dan fatihah dikirimkan kepada arwah ibunya. Tidak lupa juga buat ayahnya agar dibuka pintu hatinya.
Liyana masih bermonolog sendiri dengan hati dan perasaannya tatkala selesai bertarawih. Dia tercari-cari sinar kebahagiaan dan kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah. Hanya Tuhan sahaja yang dapat menyelami perasaan hatinya. Tanpa disedari, ada titisan air jernih yang keluar dari kelopak matanya.
“Celaka punya anak! Aku dah suruh kejut bukannya nak kejut. Bulan puasa macam ni saja nak buat darah aku naik!”
Liyana tersentak. Bungkam dengan kata-kata itu. Segera dia mengesat air matanya.
“Kalau aku tahu macam ini, kecil-kecil lagi aku dah picit-picit hidung kau. Biar mampus! Hidup pun menyusahkan aku saja!”
Kata-kata Pak Hassan benar-benar menusuk di dadanya, menghiris hati dan perasaannya. Liyana terlalu faham dengan perangai panas baran ayahnya. Silap sedikit sahaja dijerkah, dimaki hamun. Namun, jauh dilubuk hatinya, dia akui kesalahannya. Dia terlewat lima minit untuk mengejutkan ayahnya yang terlena di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang.
Kadang kala Liyana bosan dengan hidupnya. Pedih di hati dikunci teguh. Persoalan demi persoalan silih berganti memenuhi lautan fikirannya, bertandang mengetuk hatinya.
“Ayah terlalu memilih kasih!” bentak hati kecilnya.

********* *

Pepohon rimbun menentang kehangatan udara petang itu. Angin sepoi-sepoi bahasa melenakan Liyana di ruang tamu.

“Yana! Yana! Kau pekak ke? Aku ni terpekik, terlolong, kau buat tak tahu saja.”
Liyana tersentak. Segera dia bangun dan mendapatkan ayahnya.
“Maaf ayah. Yana letih. Tertidur.”
“Aku ingatkan dah mampus tadi. Nah, ambil ni! Mi laksa dengan bahan masakannya. Petang nanti buatkan laksa untuk si Farah tu. Dah berhari-hari sebut tentang laksa saja. Nanti kempunan pula dia. Masak tu sedap-sedap sikit. Biar berselera dia berbuka puasa nanti,” kata Pak Hassan sambil menjeling tajam ke arah Liyana.
“Kalau Farah, si bodoh dungu tu minta apa pun dapat. Kalau akulah, jangan mimpi. Menangis air mata darah sekali pun belum tentu,” bisik hati kecil Yana.
Memang selama ini, Liyana tidak disenangi oleh ayahnya. Pada ayah, Liyana membebankan. Dia sendiri tidak tahu apakah puncanya. Bermacam persoalan yang sering bermain dikotak fikirannya selama ini. Namun, tidak pernah terjawab. Bagi ayah, Farahlah pengarang jantungnya. Farahlah yang sering dibelai dan dimanjakan. Dirinya hanyalah bagaikan melukut ditepian gantang. Hati Yana memberontak.
“Ayah tak adil! Tak adil dalam membahagikan kasih sayang!”
Liyana mengeluh. Keluhnya mendesah panjang. Dia terus beristighfar. Namun, hatinya benar-benar hiba. Tercampak jauh ekoran kata-kata ayahnya yang begitu berbisa. Perit hatinya. Matanya memandang jauh ke ruang yang kosong.
“Astaghfirullah hal a’zim, Yana. Sabar Yana. Sabar! Bulan puasa ni,” kata Yana sambil mengusap dadanya mengawal perasaan.

**********

Selesai  berbuka puasa, Liyana terus menunaikan solat maghrib. Rukun Islam yang kedua. Selepas solat, dia hanya terperuk di dalam kamar beradunya. Menyiapkan segala kerja-kerja sekolah yang diberikan gurunya. Namun, jiwanya kosong. Terbang melayang bersama angin malam. Terngiang-ngiang kata-kata ayah yang telah menghancurkan hatinya, sekaligus membuatkan dirinya tawar hati untuk bercakap dengan ayah. Malah, dirinya bagaikan terlambung jauh daripada keluarga itu.
“Kalau dah nak belajar sangat, carilah duit sendiri. Tak payah nak harapkan aku. Aku dulu pun tak mengaji juga. Tapi boleh hidup sampai hari ini,” ayah begitu bangga dan tegas melafazkan kata-katanya.
“Itulah ayah. Nak semua anak-anak ayah jadi macam ayah. Kalau ayah jadi jurutera atau doktor, bolehlah Yana ikut. Tapi setakat mampu beli beras sekilo dua, lebih baik tak payah!” suara Yana meninggi.
Pangggggggg!
“Anak kurang ajar! Kau ingat selama ini, siapa yang bagi kau makan? Sekolah pun tak habis lagi dah pandai nak mengajar aku!” jerkah Pak Hassan.
“Sudah! Sudah! Depan rezeki bang. Tak habis-habis nak bertengkar. Awak ni pun satu. Selalu sangat nak mengungkit fasal berhabis duit untuk mengajikan anak-anak. Abang, Timah tak mahu anak-anak ikut jejak langkah kita,hidup susah. Abang tak nampak ke semua itu?” emak menyoal ayah sambil mengesat air matanya yang mula mengalir.
Yana benar-benar rasa bersalah. Memang kata-katanya kepada ayah sewaktu berbuka tadi bersifat biadap. Tetapi hatinya sudah tidak keruan lagi. Tidak tahan dengan sikap ayahnya yang berfikiran cetek itu. Ayah tidak suka ditegur dan paling membuatkan Liyana geram ialah ayah selalu menganggap tindakannya betul.
“Yana! Yana!” 
Liyana tersedar dari lamunannya apabila pintu biliknya diketuk.
“Dah nak masuk isya’ ni. Yana nak ikut mak pergi terawih di masjid tak?” Tanya emak.
“Boleh juga. Mak tunggu Yana sekejap ya. Yana nak bersiap,” balas Yana sambil menguak pintu biliknya.
Mak Timahlah segala-galanya bagi Liyana. Walaupun Mak Timah hanyalah ibu tirinya, kasih sayang Mak Timah tidak pernah berbelah bahagi. Tidak pula seperti ayahnya. Pernah sekali ayahnya mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya dikhalayak ramai. Yana terasa terhina. Jika benar Yana anak sampah mahupun anak pungut, salahkah Yana sebagai seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ayah?

* * * * * * * * * *

Petang itu, Liyana menunggu teman baiknya di sebuah pondok kecil di hadapan sekolah mereka. Sinaran matahari yang terik memancar menyimbah tubuh bumi, sedikit pun tidak mengganggu khayalan Liyana. Pantang diberi peluang, fikirannya hanyut melayang. Husna yang sudah lama tercegat di sisinya sedikit pun tidak diendahkannya.
“Yana! Kau ni kenapa? Asyik termenung saja. Aku panggil dari tadi kau buat tak tahu saja,” tanya Husna, teman baik Liyana.
Liyana yang tadinya tersentak, mula menguntumkan senyuman di bibir mulusnya.
“Dah lama aku tunggu kau. Baru kau nk muncul. Dah, jom balik. Dah petang ni. Nanti bising pula mak aku,” kata Liyana dengan nada slumber,menyembunyikan rasa di hatinya.
“Yana, aku tanya kau ni. Kau ok ke tak? Sejak-sejak ni kau asyik termenung saja. Nak dengar kau bercakap pun susah. Kau ada masalah ke? Kalau ada masalah, beritahulah aku. Share dengan aku. Manalah tahu kalau-kalau aku boleh tolong,” tanya Husna.
Soalan Husna persis debu yang berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.Yana terdiam, tiada jawapan. Hanya langkah kakinya yang longlai sedikit sebanyak dapat menjawab pertanyaan Husna.
“Yana!” nada Husna meninggi.
“Ya, apa?” jawab Yana ringkas.
“Bertubi-tubi soalan aku tanya, kau boleh diam saja. As silent as grave la kau ni. Cuba kau cerita apa masalah kau sebenarnya. Tak payah nak berahsia sangat dengan aku. Kitakan dah kawan dari kecil. Macam adik beradik dah. Masalah kau masalah aku juga,” Husna cuba mengorek rahsia Liyana.
“Tak apalah Una. Tak ada apa-apa pun. Aku ok saja ni. Terima kasih sangat-sangat sebab kau caring dengan aku. Sayang kau!” balas Yana sambil menghantar fly kiss kepada Husna.
Husna tersenyum lalu membuat aksi seperti menangkap fly kiss daripada Yana. Mereka kemudian ketawa bersama. Husnalah penghibur hati Liyana. Gelak tawanya menceriakan hari-hari Liyana.
“Yana, petang nanti sebelum berbuka puasa kita pergi bazar Ramadhan jom. Aku teringin pula nak makan bubur lambuk. Nak harapkan kaumasakkan untuk aku, entah bila agaknya boleh dapat,” kata Husna sambil mengusik temannya.
“Ok, boleh juga. Nanti aku temankan kau tapi kau kena belanja aku bubur lambuk juga. Dah lama tak makan. Jangan sampai aku kempunan.” balas Liyana.
“Bergantung pada keadaan jugalah nanti. Kalau ada duit lebih aku belanja kau. Ok lah, Yana. Aku balik dulu. Kirim salam mak kau nanti,” kata Husna.
Liyana meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah. Sesampai sahaja di rumah, Liyana melihat motosikal ayahnya berada di bawah rumah. Sunyi dan sepi saja keadaan di rumahnya.
“Ayah tak keluar ke hari ini? Tapi kenapa rumah sunyi saja?” bisik hati Liyana.
“Mak!Mak!”
Panggilan Liyana tidak dijawab. Pintu rumahnya tidak berkunci tetapi di manakah emaknya? Liyana meluru ke bahagian dapur. Emaknya masih tiada disitu. Liyana terus menuju ke bilik emaknya. Terkejut melihat keadaan emaknya yang menangis tersedu-sedan, Liyana segera menerpa ke arah wanita separuh usia itu.
“Mak, kenapa menangis? Mana ayah? Apa yang ayah dah buat?” soal Liyana.
Namun tiada jawab daripada emaknya. Hanya tangisan yang memecah kesunyian di kamar itu.
“Mak, jawablah. Kenapa mak diam? Ayah mana? Adik-adik?” tanya Yana lagi.
“Ayah masuk hospital, sayang. Sakit buah pinggang ayah dah tahap kronik. Kita kena cari penderma. Kalau tidak ayah tak boleh bertahan lama,” Mak Timah meluahkan segalanya sambil menahan sedu.
Liyana terpaku seketika. Lidahnya kelu. Ada manik putih menempiasi pipinya, mencurah-curah dari tubir matanya. Air matanya mula luruh dari lubuk kesedihan. Ada kesal tersalit di wajahnya. Terngiang-ngiang kata-kata biadapnya terhadap ayah.
“Yana memang anak derhaka! Anak tak guna!” cetus hatinya.

* * * * * * * * * *

            “Una, ayah aku masuk hospital tadi. Sakit ayah aku dah tahap kronik. Aku sedih, Una,” adu Yana kepada Husna.
            “Ya Allah! Betul ke Yana? Doalah banyak-banyak. Mudah-mudahan ayah kau tak apa-apa,” balas Husna.
            “Harap-harap macam itu lah. Raya pun dah nak dekat. Kesian mak dan adik-adik aku nanti. Nampaknya, beraya di hospital lah kami anak-beranak,” sayu kata-kata Yana menusuk ke dalam kalbu.
            “Yana, kuatkanlah semangat kau. InsyaAllah semuanya selamat. Kita berusahalah mencari penderma untuk ayah kau,” kata-kata Husna memberi semangat kepada Yana untuk terus bangkit dari tersungkur.
            “Alamak, Yana! Bubur lambuk dah habislah. Macam mana ni? Kau kempunan ke? Aku belikan makanan lainlah,” kata Husna yang cuba untuk menceriakan keadaan.
            “Eh, tak apalah Una. Aku bergurau saja dengan kau. Aku ni tak adalah sampai nak kempunan sangat dengan makanan kegemaran aku tu. Cukuplah setakat kau sudi dengar cerita-cerita aku,” balas Yana.
            “Ala, kau ni. Apalah sangat. Tak ada rezeki kau hari ini nak merasa bubur lambuk yang aku belanja. Lain kalilah nampaknya. Dah,kau nak beli apa-apa lagi tak? Kalau tak ada,jomlah kita balik. Dah nak maghrib ni,” tanya Husna.
            “Jomlah. Nanti tak sempat pula berbuka di rumah,” jawab Liyana.
           Kesesakan orang ramai di bazar Ramadhan membuatkan mereka terperangkap dengan masa. Sampai sahaja di rumah, azan maghrib berkumandang lunak dari masjid berhampiran.

* * * * * * * * * *

            “Adik tak boleh jadi penderma walaupun secara fizikalnya adik layak. Banyak risikonya nanti. Adik bukanlah penderma yang sesuai yang kami cari,” nasihat Doktor Mukhriz.
            “Tolonglah doktor. Ini sahaja cara yang boleh selamatkan ayah saya. Saya redha. Mungkin ini kali pertama dan terakhir saya membalas jasa ayah saya. Saya masih mempunyai emak dan adik-adik yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ayah. Tolonglah doktor.Saya merayu sangat-sangat. Satu lagi saya minta agar doktor merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ahli keluarga saya.” Liyana merayu.
            Selepas bertemu dengan doktor yang merawat ayahnya, Yana berasa lega. Setidak-tidaknya dia dapat melihat sinar kebahagiaan di wajah emaknya nanti. Husna yang menunggu di luar bilik doktor bingung dengan tindakan Liyana. Sudah banyak kali nasihat diberikan. Namun, pelbagai alasan juga diterima oleh Husna. Akhirnya dia akur dengan keputusan Liyana.
            “Yana, macam mana? Doktor kata apa? Sesuai tak kau jadi penderma ayah kau?” tanya Husna yang mula menunjukkan keresahan.
            “Ok. Doktor kata, aku penderma yang dicari-cari. Sesuai sangat untuk ayah aku. Kau tak payah risaulah. Doakan semuanya berjalan lancar. Tapi kau kena ingat, ini rahsia kita. Jangan sampai family aku tahu akan semua rancangan kita ini,” pinta Liyana.
            “Baiklah, Liyanaku sayang,” jawab Husna sambil tersenyum manis sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.
            “Eh, bila operation tu akan dilakukan? Lama lagi ke?” tanya Husna.
             “Dua hari sebelum raya, Una. Seminggu saja lagi. Andainya ini Ramadhan terakhir aku, kau sambutlah hari raya nanti dengan keluarga aku ya. Keluarga aku, keluarga kau juga kan?” kata Liyana.
             “Apa kau merepek ni Yana? Tak eloklah cakap macam tu. Mudah-mudahan semuanya selamat,” doa Husna.

* * * * * * * * * *

Gembira di hati Mak Timah tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kesedihan dan kerisauannya selama ini diserikan dengan berita gembira daripada pihak hospital. Wajahnya kembali ceria setelah saban hari menanti jawapan.
        “Siapalah yang baik sangat dermakan buah pinggangnya untuk ayah. Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa dan pengorbanannya,” kata Mak Timah dengan bersungguh-sungguh.
        “Alhamdulillah, mak. InsyaAllah, ayah akan selamat nanti.” hanya itulah yang mampu Liyana ucapkan walaupun dadanya sebak.
        Yana memandang tepat ke wajah ayahnya dengan penuh harapan. Namun, Pak Hassan tidak mengendahkannya malah menyuruh Liyana untuk pulang ke rumah. Tubir matanya digenangi mutiara yang perlahan mencair ke pipi. Kekecewaan dan kekesalan bertimpa-timpa dalam lubuk hati kecilnya ekoran tindakan ayahnya itu.
        “Abang, Timah balik dulu ya. Esok Timah datang lagi. Anak-anak nak berbuka puasa nanti di rumah. Mari Yana, kita balik dulu,” kata Mak Timah.
        Yana hanya membisu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ayahnya. Namun, ayahnya memalingkan muka ke luar jendela wad tersebut. Hati Liyana bertambah luluh dan kecewa. Dia kemudiannya segara mengekori emaknya ke luar wad.
        “Mak, Yana nak tanya dengan ikhlas. Kalau boleh Yana nak mak jawab dengan jujur.” rayu Yana.
        “Apa dia Yana? Apa yang Yana nak tahu sangat?” soal Mak Timah.
        “Siapa Yana sebenarnya pada ayah? Betul ke Yana ni anak kandung ayah? Kenapa ayah benci sangat dengan Yana? Kenapa mak?” soal Yana.
        “17 tahun mak simpan rahsia ni Yana. Dulu Yana pernah tanya mak juga tapi mak tak yakin Yana akan jadi sekuat macam sekarang. Yana tahukan mak bukan mak kandung Yana? Ibu Yana dah lama meninggal dunia semasa lahirkan Yana. Dia pun kuat macam Yana juga.” terang Mak Timah.
        “Jadi, ayah salahkan Yana atas kematian ibu kandung Yana?” Yana cepat membuat andaian.
        Mak Timah mengangguk perlahan dan meninggalkan Yana yang menangis sendirian. Yana tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi kepadanya. Walau apa pun Yana berasa sangat puas. Persoalan yang selama ini mengganggu dirinya, terjawab juga. Malam itu, Yana tidak dapat melelapkan matanya. Ketika itu hatinya diruntun kepiluan yang begitu menekan. Hanya menghitung hari untuk menanti hari pembedahan. Gelodak resah di dalam dadanya berombak kencang.

* * * * * * * * * *

Hari yang dinanti sudah tiba. Yana berasa tenang semasa dibawa ke bilik pembedahan. Doanya agar pembedahan itu berjaya dengan selamat tidak pernah putus. Husna yang setia di sisi sentiasa memberikan semangat untuknya. Masih lagi Liyana ingat akan kata-kata emaknya sehari sebelum itu, di mana dia meminta izin untuk bermalam di rumah Husna.
         “Tak payahlah Yana. Tidur di rumah ini sahaja. Temankan adik-adik. Mak nak temankan ayah di hospital. Nanti dapatlah kita beraya bersama-sama,” kata Mak Timah.
         “Bolehlah, mak. Kali ini sahaja. Esok mungkin Yana tak dapat nak temankan mak di hospital semasa ayah operation. Ayah pun bukannya suka Yana ada dengan dia. Jadi, Yana ingat Yana nak luangkan masa dengan Una. Una pun sendirian di rumah. Boleh ya mak. Kalau ayah dah sihat nanti Yana datang jenguk.” pinta Yana.
         Mak Timah tidak dapat menjawab. Lidahnya kelu. Bicaranya mati. Dia begitu faham akan perasaan anak gadis itu. Sangkaannya Yana benar-benar bermalam di rumah Husna.
         “Yana kuatkan hati kau ya. Aku akan sentiasa doakan kau. Aku tunggu kau sampai kau sedar semula nanti.” kata-kata Husna memberi kekuatan kepada Liyana sebelum dia masuk ke bilik pembedahan.
         Satu kucupan mesra dihadiahkan di dahi Liyana sebagai tanda setia kasih persahabatan mereka. Husna menyeka air mata yang mula mengalir di pipinya tanpa disedari.

* * * * * * * * * *

Hampir 8 jam mereka bertarung nyawa di bilik pembedahan. Cahaya lampu yang menyinar menikam anak mata Liyana. Matanya teras begitu lemah. Tekaknya kering. Tiada siapa yang berada di sisinya ketika itu. Jiwanya kosong. Tiba-tiba tangannya terasa disentuh lembut.
          “Una…,” suara Liyana lemah.
          Bibirnya mengukir secebis senyuman yang penuh dengan pengertian tatkala melihat kesemua teman baiknya di sisi di saat dia memerlukan sokongan. Liyana merenung setiap anak mata teman-temannya itu. Pandangannya redup. Husna, Adam dan Faris membalas dengan senyuman yang penuh keikhlasan.
         “Aku minta maaf Liyana sebab beritahu mereka tentang hal ini.” ujar Husna.
         “Tak apalah, Una. Aku tak kisah pun. Una, ayah aku macam mana? Kau dah tengok ayah aku?” tanya Liyana dengan lemah.
         “Dah.” jawab Husna ringkas.
         “Ayah kau ok. Dah sedar dah pun.” sambung Adam.
         Yana tersenyum pilu.
         “Yana, kau nak makan bubur lambuk? Aku buatkan untuk kau,” kata Husna sambil menunjukkan bubur lambuk yang dibawanya.
         Liyana sekadar mengangguk lemah. Husna menyuapkan bubur tersebut ke dalam mulut Liyana. Namun hanya dua, tiga suap sahaja. Liyana kemudian menggeleng tanda sudah tidak mahu.
         “Una, kau rasa sempat tak aku sambut hari raya dengan family aku?” tanya Liyana tersekat-sekat.
         Husna terdiam.Terpaku dengan kata-kata Liyana.Suara Liyana semakin lemah.
         “Adam, Faris, Una, aku rindu sangat nak bersama-sama macam ini. Ingat lagi tak, dulu kita selalu nyanyi lagu ‘Perjuangan’ bersama-sama. Boleh tak nyanyikan lagu itu untuk aku buat kali terakhir?” pinta Liyana dengan penuh harapan.
         Husna mengangguk sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Adam dan Faris turut sebak dan menahan egonya daripada air matanya mengalir keluar.
        “Dengan satu perjuangan.. satu perjuangan.. Satu arah tujuan.. Di bawah rahmat Yang Esa.. Kita melangkah seiringan.. Satu perjuangan..,”
        “Ahhh!”
        Bibir Yana terkumat-kamit melafazkan kalimah syahadah. Husna di sisinya membantu dengan membisikkan kalimah syahadah tersebut di telinga Liyana.
        “Yana! Yana!” Husna memanggil kuat nama teman baiknya itu. Tanpa disedari, teman-temannya yang lain juga turut mengalirkan air mata. Hilanglah keegoan mereka kerana seorang sahabat.
        “Innalillah..,” ucap Adam dengan perlahan.
        Doktor Mukhriz yang tercegat di muka pintu hanya memandang sugul wajah mereka. Dia masuk ke dalam wad tersebut dan menyerahkan sepucuk surat kepada Husna.
        “Liyana minta saya serahkan surat ini kepada ibu bapanya melalui Husna,” kata Doktor Mukhriz dengan penuh kesayuan.
        “Fatin Nur Liyana nama yang indah tapi tak seindah nasibnya di dunia ini,” bisik hati kecil Doktor Mukhriz.

* * * * * * * * * *

Husna, Adam dan Faris melangkah masuk ke wad Pak Hassan, ayah Liyana. Husna melulu ke arah Mak Timah dan bersalaman dengannya. Sayup hatinya menyentuh lembut tangan Mak Timah. Hiba hatinya.
         “Mak cik, pak cik, ini ada surat untuk mak cik dan pak cik. Sebelum itu, kami nak minta maaf banyak-banyak,” bicara Husna mati di situ.Air matanya mengalir lagi.
         “Lagi satu pak cik, mak cik, Liyana ada tinggalkan baju raya yang dibelinya pada saya. Jadi, saya serahkan pakaian ini kepada mak cik,” tambah Faris.
         “Liyana? Mana Liyana, Husna?” jerkah Mak Timah yang mula mengalirkan air mata.
         Pak Hassan membisu seribu bahasa. Dia seolah-olah terpukau dengan situasi yang berlaku. Dia keliru. Tangannya pantas membuka sampul surat yang diberikan Husna tadi.
          “Ya Allah, Yana!” hanya jeritan itulah yang kedengaran daripada mulut Pak Hassan. Keegoannya hilang serta merta. Air jernih yang keluar dari kelopak matanya deras mengalir. Diambilnya baju raya Liyana, dipeluk dan dikucup dengan linangan air mata.
          “Maafkan ayah, Yana,” perlahan suara Pak Hassan kedengaran.

* * * * * * * * * *

Matahari pagi Syawal mencuri masuk ke ruang bilik yang sayu itu.Terasa kekosongan dan kehilangan.Itulah hakikat hidup Pak Hassan.Pagi Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh rasa kepiluan.Walaupun Fatin Nur Liyana amat dibencinya dahulu. Namun,atas perjuangan,pengorbanan,semangat dan kasih sayang yang tidak pernah goyah daripada sekeping hati seorang gadis molek,akhirnya anaknya itu tersemat kemas di dalam lubuk hatinya.Al-Fatihah untuk Fatin Nur Liyana Binti Hassan.

Hasil karya oleh :
Nur Atiqa Roslan
Tahun 3
Pengajian Al Quran dan Sunnah

#KeArahMemartabatkanIlmu

Exco Penyelidikan dan Pembangunan
Kelab Sahabat Kembara Ilmu
2016/2017


Ahad, April 30, 2017

O.M.O.A (One Month One Article)

KAFEIN


Untuk mengelakkan masalah mengantuk,masyarakat umumnya kebiasaannya gemar mengambil secawan kopi dan makanan ringan.  Apatah lagi apabila mereka menghadapi peperiksaan, ada sesetengah pelajar mengulangkaji pelajaran hingga larut malam berbekalkan secawan kopi. Apakah bahan kimia yang terkandung didalam kopi yang membolehkan kebanyakan masyarakat atau mahasiswa khususnya sering mengamalkan minuman ini? Apakah kesan-kesan akan pengambilannya secara berlebihan?

Kafein. Kebanyakan kopi mengandungi kafein iaitu sejenis dadah yang terhasil secara semulajadi dalam daun dan biji beberapa jenis tumbuh tumbuhan. Terdapat juga kafein yang dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan penambah atau perisa di dalam sesetengah makanan.  


           Secara saintifiknya, Kafein dikenali juga di kenali dengan nama kimianya trimethylxanthine (trimetilksantina) dalam kumpulan methylxanthine (metilksantina). Bahan ini berbentuk serbuk berwarna putih dan sedikit rasa pahit.  Bahan kimia lain yang terdapat dalam kumpulan ini adalah theophylline (teofilin) yang terdapat dalam daun teh dan theobromine (teobromin) yang didapati dalam biji koko.



Image result for kafein

Ia berfungsi dengan merangsang sistem saraf pusat (CNS), jantung, otot, dan pusat-pusat yang mengawal tekanan darah. Kafein boleh meningkatkan tekanan darah dan bertindak seperti "pil air" yang meningkatkan pengaliran air kencing yang banyak yang menyebabkan masalah dehidrasi kepada pengguna. Ianya merupakan salah satu symptom yang kerap dihadapi pengguna meskipun ada yang beranggapan bahawa dengan meminum air berkafein yang banyak badan dapat mengekalkan kandungan air tersebut tetapi kafein akan bertindak sebaliknya ke atas badan.Akan tetapi ianya mungkin tidak mempunyai kesan-kesan ini pada orang yang menggunakan kafein lebih kerap.

Kesan kafein terhadap orang yang mengambil kafein bergantung kepada kuantiti kafein yang diambil. Kafein memberikan kesan berterusan ke atas tubuh selagi masih berada dalam darah. Jangka masa yang diperlukan oleh tubuh untuk mengeluarkan separuh daripada jumlah kafein yang diambil adalah dari beberapa jam hingga ke beberapa hari.

Image result for kafein

Tambahan lagi, pengambilan kafein juga akan menyebabkan badan kehilangan kalsium serta potassium dan ini akan menyebabkan kesakitan otot serta mempercepatkan proses osteoporosis disebabkan kehilangan bahan-bahan mineral tersebut bagi wanita berumur. Malah, kafein juga boleh memberikan kesan jangka masa panjang iaitu penyakit seperti ulser, masalah jantung dan ketagihan.Bagi membendung tabiat ketagihan kafein bukannya perkara mudah. Cara yang berkesan  adalah dengan mengurangkan pengambilannya setiap hari serta mengamalkan meminum air kosong yang banyak serta jus buah-buahan dalam sajian harian pengguna.

Pengamalan minuman berkafein yang kerap dikalangan masyarakat umum, serta mahasiswa khususnya perlu dikawal kerana ianya memberi pelbagai kesan dan impak negatif seperti yang dinyatakan diatas.


SUMBER :





Hasil karya oleh :

Nur Izzati binti Yahaya
Tahun 2
Kos Teknologi Kimia Industri
Fakulti Sains Teknologi

#KeArahMemartabatkanIlmu

Exco Penyelidikan dan Pembangunan
Kelab Sahabat Kembara Ilmu

2016/2017

Isnin, Mac 20, 2017

O.M.O.A (One Month One Article)

KESAN MAKAN MAGGI TERHADAP KESIHATAN

     Mee  segera merupakan mee separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya di makan setelah dimasak atau direndam dengan air panas selama beberapa minit. Makanan ini amat “popular” di kalangan orang bujang mahupun golongan yang sedang “kekeringan” poket…
Namun begitu tahukah anda, di sebalik kesedapan dan keenakan mee segera yang mempunyai pelbagai perisa itu sebenarnya kurang sihat sekiranya dimakan dalam kuantiti yang banyak dan secara berterusan. Bayangkan kandungan di dalam bahan perencah mee tersebut mengandungi kadar MSG yang tinggi dan garam yang tinggi. Bahan perisa ini mempunyai pelbagai kesan negatif kepada kesihatan terutama terhadap fungsi buah pinggang. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa individu yang alah kepada MSG mengalami panas dada, perubahan warna wajah kepada sedikit merah  atau sakit kepala yang melampau setelah mengambil produk yang mengandungi MSG yang tinggi.

     Selain itu, kandungan dioxin dan plasticizers yang terkandung dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk atau cawan) juga dikatakan mampu mempertingkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna. Bahan kimia yang terlarut dalam air panas akan menjadi bahaya sekiranya di makan dari mangkuk secara terus.

     Jangan lupakan juga teknik memasak mee segera anda. Tahukah anda, kandungan wax yang menyelaputi mee segera mengambil masa selama 4-5 hari untuk mencernanya. Bagaimana pula dengan kesan terhadap ibu mengandung dan kanak-kanak?

     Kanak2 yang berumur bawah 5 tahun akan mengalami masalah penyerapan nutrisi sekiranya dia mengambil mee segera lebih dari 3 kali seminggu. Pengambilan mee segera yang terlalu  kerap bagi ibu mengandung juga boleh mengakibatkan keguguran atau menganggu proses pertumbuhan janin. Jadi, anda para wanita, cubalah elakkan mengidam mee segeraya.. Cuba gantikan dengan makanan lain yang lebih berkhasiat.

     136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar menunjukkan bahan ramuan itu.Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripada nya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turu tditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera  mengandungi natrium yang tinggi.

      Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium. Disamping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya. Menurut MajlisPengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan  lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak  untuk diet 2,000-kcal. Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

Kerosakan buah pinggang disebabkan pemakanan yang tidak sihat dan nampak apa yang berlaku dalam tubuh anda?

Terdapat 10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera:
Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu?
Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat?


Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

1) Kalsium Sulfat: 
Kapur Paris.

2) Asid Tartarik: 
Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

3) Kalsium Oksida: 
Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

4) Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): 
Produk berasaskan petroleum; satu  bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

5) BHT: 
Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada  ginjal.

6) Propyl Gallate: 
Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma.

7) Pentasodium triphosphate: 
Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

8) Propylene Glycol: 
Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan  pendingin, anti beku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa  kepada kerosakan buah pinggang.

9) Polydimethyl siloxane:
Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.


10) Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF danTartrazine): 
Menyumbang kepada hiperaktiviti  dalam  kalangan  kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.


Hasil karya oleh :

Siti Hawa binti Ajiyan
Tahun 3
Pengajian Quran dan Sunnah
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

#KeArahMemartabatkanIlmu

Exco Penyelidikan dan Pembangunan
Kelab Sahabat Kembara Ilmu
2016/2017

Khamis, Februari 23, 2017

ONE MONTH ONE ARTICLE (O.M.O.A) - 1

ISU BER’COUPLE’ DALAM KALANGAN MAHASISWA 

   Menurut Freud 1963, 2007; Fehr & Russell 1984; Rubin 1970; Sternberg & Barnes 1988; Sternberg& Weis 2006; Hatfield 1984, 1988; Hatfield & Rapson 1985, cinta adalah satu perkara yang dikaji secara meluas di Barat dan konsep cinta ini masih baharu dikaji secara saintifik di Malaysia. Terdapat sebilangan ahli akademik tempatan yang mengkaji mengenai cinta (Suzana 2009, 2010, 2011; Robiah 1997, 2001; Sidek Noah 1998), walau bagaimanapun, masih banyak lagi kelompongan ruang cinta yang belum diteroka di Malaysia. Pengkaji mendapati terdapat kelompongan yang nyata dengan konsep cinta yang dibawa oleh ahli psikologi Barat, yang mana ia hanya ada dalam konsep cinta yang dibawa oleh para ulama dan ahli psikologi Islam. 
   Menurut Fehr& Russell 1984; Branden 1988, mereka menyatakan perilaku berciuman, bersentuhan dan bersetubuhan adalah keperluan asas dalam menjalin percintaan. Akan tetapi, semua perlakuan cinta tersebut, adalah bertentangan dengan ajaran Islam jika pasangan kekasih belum lagi berkahwin (Malik 1979, 1989; al-Qaradhawi 2003). 
Sekiranya remaja Islam mengambil pendekatan Barat di dalam memahami cinta, maka mereka dengan sejelas-jelasnya melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.Sesuatu yang dianggap normal oleh ahli psikologi Barat, mungkin dianggap normal oleh ahli psikologi Islam. Jadi dalam hal ini, tidak berciuman, tidak bersentuhan dan tidak bersetubuhan di antara pasangan kekasih yang belum berkahwin mungkin dianggap tidak normal oleh ahli psikologi Barat, tetapi ini adalah perlakuan yang normal lagi dituntut dalam ajaran Islam (Malik 1979, 1989). Justeru, kefahaman konsep cinta dari Barat tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk memahami perlakuan cinta dalam kalangan remaja Islam, melainkan modifikasi dan adaptasi perlu dilakukan mengikut norma-norma masyarakat setempat dan ajaran Islam seandainya para psikologi Islam ingin menggunakan alat ujian psikometrik yang telah dibina di Barat. 
Jangan buang waktumu dengan melakukan hal yang tidak perlu. Berfokuslah pada hal yang menjadikan dirimu tumbuh menjadi lebih baik. 
   Kata-kata tersebut menegaskan kita agar menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih menjamin masa depan dari membuang masa dengan perkara yang tidak perlu. Perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri bahkan ia akan menjadikan kita leka dengan dunia yang dicipta sendiri. 
   Gejala ‘couple’ ini boleh dikatakan berleluasa dalam kalangan remaja, para pelajar khususnya mahasiswa universiti. Tidak dinafikan, ber’couple’ boleh mendatangkan kebaikan mahupun keburukan. Ia bergantung kepada pasangan tersebut bagaimana untuk menguruskan hal masing-masing. Bagi mereka yang berkekasih ini, mereka lebih suka membuat perjumpaan terbuka tak kurang juga senyap-senyap kerana takut akan diketahui umum. Sebagai contoh, mereka menjadikan perpustakaan sebagai tempat untuk perjumpaan mereka walhal perpustakaan adalah tempat untuk mencari sumber-sumber ilmiah. 
   Bagi mereka yang tidak ber’couple’, mereka mungkin dianggap kolot dan tidak berfikiran terbuka kerana mereka berpendapat hanya mereka yang tahu bagaimana rasanya bercinta. Perkara sebegini sudah banyak pihak yang mencegah namun ianya terus menrus berlaku sehingga boleh membawa kepada kes penzinaan dan lebih parah lagi pembunuhan. Apabila sudah terlanjur, dan sudah mengetahui diri mereka berbadan dua, maka mereka akan menggugurkan bayi yang dikandung. Menurut Enakmen 3 Tahun 1995, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995, Bahagian IV- Kesalahan, Seksyen 85 iaitu menggugurkan atau membunuh kandungan, sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan dengan niat untuk menggugurkan atau membunuh kandungan sama ada hasil dari pernikahan yang sah atau dari persetubuhan luar nikah, kecuali perbuatan Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai perlu dan tidak boleh dielakkan kerana ia akan memudaratkan perempuan yang mengandung itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali (sumber esyariah.gov.my) . 
   Mereka yang ber’couple’ ini juga rata-rata daripada mereka tidak mendapat sepenuhnya perhatian ibu bapa. Oleh kerana dahagakan kasih sayang, mereka sanggup menjalin hubungan cinta yang dilarang agama khususnya agama Islam. Mereka lebih suka menghabiskan masa bersama pasangan daripada meluangkan masa bersama keluarga. Justeru itu, penting bagi ibu bapa untuk mengambil tahu keadaan anak-anak mereka sama ada di dalam mahupun di luar jagaan mereka.Tidak kurang juga ibu bapa yang tidak mengambil tahu khabar keadaan anak-anak mereka, alasannya anak-anak mereka sudah besar dan pandai menjaga diri. Biarlah anak-anak mereka sendiri yang menentukan haluan hidup masing-masing dan sangkaan ini berterusan hinggalah pihak orang tua mendapat khabar yang menconteng arang ke muka mereka sendiri. Pada masa itu, air mata darah sudah tiada berguna. 
   Di era teknologi canggih sebegini, ramai yang berpendapat bahawa badan pencegah maksiat sebegini tidak perlu dilakukan kerana ianya boleh mengaibkan tertuduh. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, kita perlu beringat di mana ada hadis mengenai pencegahan maksiat ini yang berbunyi:- 
Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah bersabda: 
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” 
( Diriwayatkan oleh Musim: al-Iman, hadis no. 40 )

Hasil karya oleh :

Saudari Nabilah Alyani binti Azhar
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Tahun 2
2016/2017

Sumber :
1. Internet
2. esyariah.gov.my
3. google scholar

Selasa, Januari 17, 2017



🌹HAPPY SEMESTER BREAK🌹

Bismillahirahmanirrahim and Assalamualaikum to all dears 🤗

🎉Alhamdulillah, we have completed all the exams on 15 JANUARY 2017 by the end of semester 1 session 2016/2017.

🎉Therefore, we are from Kelab Sahabat Kembara Ilmu (SKIL) would like to wish all of you "Have A Good Rest Day" during your semester break starting from 16 January 2017 untill 11 February 2017.

🎉Hopefully by the end of this semester holidays can be fully utilized with things that can be beneficial and bring some improvement to yourselves and community.

 ‼Besides, please take note for these :
✅ check out of the hostel and return the key
✅ take care of your health
✅ service your vehicle before starting the journey back to your hometown
✅ do not play flood water (if your home is flooded)

🎉For those who would return to the village, be careful on the road way and may safely arrived to your destinations.

🎉Thank you and see you again in the next semester !
In shaa Allah. 🤗

#KeArahMemartabatkanIlmu

Sahabat Kembara Ilmu
Universiti Sains Islam Malaysia
2016/2017