(6) Mahasiswa Millenia; Manja atau Teraniaya?
Baru-baru ini Negara digemparkan dengan kejadian seorang pelajar Sarjana Muda Psikologi Universiti Awam terpaksa menahan lapar sehingga menyebabkan ususnya tercedera dek kerana keadaan kewangan yang terlalu mendesak dan perlu berjimat. Kemudian terjadi pula isu mahasiswi yang pengsan kerana sanggup berlapar untuk mengurangkan perbelanjaan. Ini hanya merupakan beberapa insiden yang dipaparkan dalam menzahirkan kesusahan yang dihadapi mahasiswa dalam era ekonomi pasca GST ini tetapi ironinya, Mahasiswa dituduh manja. Penulis berpendapat istilah ‘Manja’ ini merupakan suatu pandangan yang bersifat skeptical dan pukul rata dek kerana salah tadbir kewangan sekelompok kecil mahasiswa. Tetapi hari ini, jika mahasiswa dilabel semuanya manja itu adalah tidak adil. Tidak dinafikan mahasiswa kita masih dihujani pelbagai kelebihan berbanding dengan negara lain dari sudut bantuan dan sebagainya. Dengan kesediaan kerajaan menyediakan bantuan kewangan samada biasiswa, dermasiswa, bantuan pelajaran dan sebagainya amatlah meringankan beban kepada para mahasiswa dalam kehidupan seharian di kampus.
Tetapi ini bukan alasan yang konkrit untuk mengatakan mahasiswa kita manja dan terlalu mengharapkan kerajaan. Saya takut ada pihak berselindung dek kegagalan menjaga kebajikan mahasiswa, menuduh mahasiswa manja untuk menutup kelemahan diri mereka. Namun begitu, perlu diakui hakikat bahawa ada segelintir mahasiswa yang lemah dalam pengurusan kewangan sehingga memudaratkan diri mereka sendiri. Tetapi masih ramai yang benar-benar kesempitan walaupun telah mendapat bantuan kerana kehidupan yang mencengkam dalam keadaan yang terkadang kita tidak terfikir pun.
Kenaikan kos sara hidup baru- baru ini yang dimulakan dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan sangat membebankan rakyat. Dalam pada TImbalan Menteri Kewangan cuba meyakinkan rakyat bahawa GST menguntungkan dan tidak akan membebankan rakyat, jelas perkara ini ternyata indah khabar dari rupa. Seterusnya dengan kenaikan kadar tol terus menerus memberikan impak yang signifikan dalam kehidupan rakyat dan tidak cukup dengan itu, kenaikan kadar tambang pengangktan awam sehingga ada yang melebihi 50% menjadikan keadaan ekonomi rakyat lebih parah. Golongan yang sangat terkesan adalah golongan mahasiswa. Mahasiswa yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan bergantung kepada bantuan kewangan atau biaya dari ibu bapa ini terpaksa berkira-kira dalam perbelanjaan harian.
Untuk mengatakan mahasiswa menghabiskan wang pada pakaian yang mahal dan gajet yang menjadi kegilaan sesetengah golongan mahasiswa yang berkeinginan hidup dalam keadaan kemewahan atau ‘hipster’ adalah tidak benar secara total. Perlu diakui sememangnya wujud segelintir mahasiswa yang salah tadbir kewangan mereka sehingga memudaratkan diri mereka sendiri. Tetapi untuk menjadikan golongan ini sebagai kayu ukur untuk mengatakan mahasiswa manja adalah tidak adil. Kerana masih ramai yang benar-benar hidup dalam kesusahan, dihimpit dalam kesempitan hidup, kemiskinan keluarga yang mendorong untuk mereka lebih mengutamakan keluarga melebihi mereka sendiri. Adapun kenaikan kos sara hidup mengeruhkan lagi keadaan. Nilai matawang terasa begitu kecil nilainya. Bahkan ada dalam sebahagian mahasiswa yang terpaksa menangguhkan pengajian kerana factor kewangan.
Saranan beberapa tokoh Negara dalam bidang ekonomi mahupun pendidikan yang menyarankan agar mahasiswa seharusnya melakukan kerja sambilan untuk menampung kehidupan seharian mereka dan membandingkan kehidupan lampau mereka dengan reality mahasiswa hari ini ada betulnya tetapi tidak secara keseluruhannya. Cabaran zaman adalah berbeza. Namun penulis mencadangkan agar pihak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif untuk menemukan formula yang berkesan bagi menggalakkan mahasiswa bekerja secara sambilan kerana reality hari ini, mahasiswa masih terikat dengan jadual pembelajaran yang padat, tugasan yang perlu disiapkan, bertujuan untuk memenuhi kehendak pembelajaran. Selain itu juga, perlu ada usaha daripada pihak kerajaan untuk mewujudkan polisi perlindngan kepada mahasiswa yang sedang bekerja sambilan untuk mengelakkn golongan ini daripada dieksploitasi oleh para majikan yang tidak bertanggungjawab. Universiti juga disaran untuk memberikan jadual pembelajaran yang fleksibel untuk memberi ruang kepada mahasiswa bekerja sambilan andai ini solusi yang konkrit untuk membantu memulihkan kewangan mahasiswa, sebagaimana yang dicanang oleh beberapa ahli akademik dan ekonomi.
Dato Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan TInggi dalam kenyataannya menyebut, “sebanyak RM 5,228,353.50 dan RM 15,279,291.84 daripada Tabung Kebajikan Mahasiswa dibelanjakan untuk kebajikan mahasiswa pada 2015”. Ironinya, penerima hanyalah disasarkan kepada golongan yang dalam kategori miskin dan tidak berkemampuan padahal dalam skop kehidupan hari ini, tragedi mahasiswa kelaparan kini tidak lagi menjadi hakmilik ekslusif pelajar kelas ini sahaja tetapi juga telah melanda pelajar yang dikelaskan “sederhana”. Seharusnya, penerima harus diperluaskan lagi dan bantuan perlu diperhebat agar tumpuan mahasiswa boleh dihalakan secara total pada pendidikan dan tidak terkesan oleh gangguan yang tidak sepatutnya menimpa mahasiswa ini.
Sehubungan dengan itu, harapan menggunung penulis agar perhatian semua pihak terarah kepada isu ini kerana isu ini bukan sahaja mampu membantutkan pendidikan Negara, tetapi bakal merugikan Negara apabila kebajikan mahasiswanya terabai. Insiden yang terjadi melibatkan mahasiswa kelaparan yang dipaparkan sebelum ini diharapkan mampu menyedarkan semua pihak akan cabaran mahasiswa hari ini bukanlah seperti puluhan tahun yang dulu. Semua badan tidak kiralah dari pihak kerajaan, badan korporat mahupun individu seharusnya berganding bahu untuk menyelesaikan kemelut ini dan menuding jari untuk menutup kesalahan diri tidak akan menyelesaikan isu ini. Diharapkan juga agar mahasiswa yang terlibat dalam salah tadbir kewangan untuk lebih berhemah dalam pengurusan kewangan agar tidak memudaratkan diri di kemudian hari dan memberikan persepsi buruk masyarakat kepada keseluruhan mahasiswa. Memetik kata-kata Saidina Ali Karamallah Wajhah, “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Semoga mahasiswa kita lebih berdaya saing dan bekebajikan. Dan penulis masih mengharapkan Malaysia yang lebih baik dan dipimpin oleh pemimpin yang lebih baik. Bersama Memimpin Perubahan. Wallahualam.
Imran Bin Razalle
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
'Minda Kritis, Siswa Kreatif'
SEKRETARIAT SAHAHAT KEMBARA ILMU
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
FB page : Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu
Blogspot : skil-usim.blogspot.my