[PENA SISWA]
(3)Usahawan Siswa Perlu Cakna Kewangan Islam.
Dalam menyelusuri hidup dalam ekonomi yang serba tertekan ini, mahu tidak mahu seseorang individu itu perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan survival kehidupan. Mahasiswa merupakan antara golongan yang sangat terkesan akan kenaikan harga barang, pelaksanaan cukai barangan dan jualan serta baru-baru ini, dengan kenaikan kadar caj tambang pengangkutan awam yang rata-ratanya melebihi 50% telah memburukkan lagi keadaan. Justeru, dilihat kini lebih ramai mahasiswa yang menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sama ada secara terus atau sebagai agen. Peningkatan penglibatan siswa secara konsisten dalam ruang perniagaan secara atas talian mahupun secara terus dilihat sebagai perkembangan positif dan bertepatan dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan TInggi) (PPMPT) yang menitik beratkan untuk melahirkan pelajar yang holistik dan berciri keusahawanan.
Keusahawanan merupakan sebahagian daripada aktiviti ekonomi dan perniagaan Islam adalah berkait rapat dengan usaha-usaha mengejar peluang menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terhad. Setiap aktiviti perniagaan dan keusahawanan yang dilakukan selaras dengan ajaran Islam dianggap sebagai sebahagian dari ibadah kepada Allah SWT. Semua jenis amalan yang dilaksanakan mengikut garis panduan dan ketetapan syariat Islam tergolong dalam amalan kebaikan dan akan menerima ganjaran daripada Allah SWT. Islam amat menggalakkan umatnya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti perniagaan secara adil dan jujur. Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW menjelaskan ganjaran-ganjaran bagi setiap peniaga yang jujur, adil dan amanah. Antaranya ialah:
Abu Sa‘ēd RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “peniaga yang jujur dan amanah akan dibangkitkan bersama para nabi, orang-orang yang benar serta para syuhada’ (pada hari kiamat)”. (Riwayat Ibn Umar)
Justeru, semua aktiviti perniagaan dan keusahawanan yang dilakukan dan diceburi oleh mahasiswa seharusnya menepati garis panduan yang telah ditetapkan dalam syariat Islam sama seperti ibadah-ibadah yang lain. Beberapa definisi telah dikemukakan dalam perbahasan tentang usahawan dan keusahawanan. Antara lainnya ialah usahawan adalah mereka melibatkan diri dalam perusahaan atau perusahaan baru (Nor 'Azzah Kamri, 2009), memajukan perniagaan baru serta bersedia menghadapi semua risiko (Scarbourough & Zimmerer, 2006) serta berusaha mencari cara dan kaedah baru dalam menggunakan sumber-sumber yang ada secara optimum di samping mencipta lebih banyak peluang pekerjaan (Vesper, 1980).
Namun begitu, ketidakfahaman tentang sistem kewangan islam dalam pengurusan perniagaan mereka adalah amat membimbangkan. Ini akan menyebabkan mahasiswa terdedah dengan unsur-unsur haram dalam perniagaan mereka. Tambahan pula, dalam memulakan sesebuah perniagaan, pelajar akan terlibat dengan urusan bersama institusi perrbankan, dan ini penting untuk mahasiswa faham tentang sistem perbankan islam dan konvensional bagi mengelakkan keterlibatan mahasiswa dalam unsur-unsur yang dilarang oleh syariat.
Sistem Kewangan Islam
Sistem Kewangan Islam telah pun digariskan dalam al-Quran dan sunnah zaman Nabi Muhammad iaitu lebih 1400 tahun yang lalu. Dengan dikatakan bahawa Dasar Sistem Kewangan Islam digubal berasaskan nilai falsafah. Pada asasnya konsep-konsep Islam iaitu Tauhid (mengesakan Tuhan), Iman (beriman kepada Tuhan), Akidah (percaya kepada ajaran dan hukum-hukum), Taa’bbud (mengabdikan diri kepada tuhan) dan Takwa( bertakwa kepada tuhan). Sistem kewangan Islam telah dibentuk dengan beransur-ansur semenjak zaman Rasulullah s.a.w. Hanya pada zaman Sayyidina Umar Al-Hhattab (r.a.) barulah agak jelas terbentuk sistem kewangan Islam ini. Setelah itu dari semasa ke semasa sistem ini telah diperbaiki dan diperkembangkan. Pada prinsipnya, sistem kewangan pada masa itu masih lagi tertumpu kepada sektor kerajaan atau sektor awam sahaja dan berpusatkan kepada perbendaharaan negara iaitu Baitul Mal.
Di sektor swasta pula hampir tidak ada institusi tertentu yang berperanan mengumpulkan modal dari ahli masyarakat untuk kegunaan masyarakat di sektor-sektor yang perlu. Apa yang berlaku berlaku ialah pengumpulan modal berlaku di kalangan orang yang ada kepentingan bersama sahaja. Iaitu orang yang ingin melakukan mudharabah atau musyarakah akan mewujudkan pakatan di kalangan sendiri bagi tujuan mudharabah atau musyarakah. Begitu juga pembentukan takaful di kalangan pedagang-pedagang antarabangsa. Mereka yang menjalankan perdagangan antarabangsa secara besar-besaran melalui lautan sering menemui kemalangan di tengah-tengah lautan yang amat merugikan. Lantaran mereka membentuk sistem takaful antara mereka supaya jika berlaku sebarang kemalangan ahli-ahli takaful tadi akan membayar ganti rugi ahli yang malang tadi. Walaupun demikian , dapat juga kita rumuskan bahawa perkara penting dalam sistem kewangan Islam melalui amalan pada masa silam dan juga daripada sumber al-Qur’an dan al-Sunnah.
Prisip-prinsip Asas Sistem Kewangan Islam.
Ada beberapa prinsip yang amat releven dan menjadi asas penting bagi Pembentukan sistem kewangan yang benar-benar berlandaskan syariat Islam. Ciri yang pertama ialah kewangan Islam terbina atas dasar Tauhid. Sama seperti hal-hal lain, sistem kewangan juga memerlukan individu yang bertauhid. Tauhid sebenarnya menguatkan aqidah dan menyedarkan manusia itu terhadap dirinya, penciptanya, hubungan antara dirinya dan tuhannya, dan hubungan antara manusia dengan manusia lainnya. Hanya dengan Tauhid yang kukuh barulah seseorang itu sedar tanggungjawab terhadap dirinya dan terhadap tuhannya. Dengan sendirinya ia akan sedar bahawa ia bertanggungjawab dan akan disoal diatas segala aktivitinya. Perhubungan manusia dengan manusia lain akan menjadikan manusia itu sentiasa berwaspada dengan gerak gerinya supaya tidak menyakiti orang lain dalam apa jua bentuk sekalipun. Maka Tauhid sebenarnya akan menjadi satu daya yang terbit dari dalam (inherent) dan tidak memerlukan perlaksanaan hukum ke peringkat maksima. Hal ini amat penting kerana amat sukar sekali untuk memastikan bahawa setiap akan sentiasa mematuhi segala undang-undang tanpa satu daya dari dalam yang sentiasa mengingatkanya bahawa perkara yang hendak dibuat itu adalah salah.
Prinsip yang kedua dalam sistem ini ialah penekanan tentang konsep harta. Harta kekayaan dalam Islam perlu difahamkan dari dua segi iaitu satu dari segi pemilikan dan satu lagi dari segi kepentingan. Seperti yang sedia maklum, harta kekayaan itu adalah hak Allah s.w.t. dan manusia ini telah dicipta oleh Allah s.w.t. sebagai pemegang amanah kepada harta tersebut. Pemilikan manusia terhadap harta tersebut adalah tidak mutlak. Sekiranya pemilikan harta oleh manusia ini adalah mutlak maka manusia tidak lagi perlu mengumpulkan atau menggunakan harta mengikut cara yang ditetapkan oleh syariat Islam. Sebaliknya manusia sebagai pemegang amanah kepada harta Allah tidak dapat lari dari menurut segala perintah Allah dalam mengumpul dan menggunakan harta. Harta yang dikumpul hendaklah dengan cara yang halal. Begitu juga penggunaannya henndaklah dengan cara yang halal dan boleh menimbulkan faedah kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan juga negaranya. Seseorang Individu itu tidak boleh berbuat apa disukai, iaitu tidak boleh membazir atau membekukan wang tanpa dilaburkan. Ia juga tidak dibenarkan menggunakan kepada perkara-perkara bersubahat dan haram. Setiap unit harta yang digunakan atau dikumpulkan itu menjadi tanggungjawabnya sehingga di akhirat. Ia akan dipersoalkan jika ia mensia-siakan harta tersebut.
Prinsip yang ketiga yang perlu dihayati ialah konsep tolong menolong. Islam menetapkan bahawa setiap Muslim itu adalah bersaudara dan jika salah seorang dari saudara kita merasa sakit atau dalam kesusahan maka selurut masyarakat Islam itu akan merasai sakit juga. Bertolak daripada konsep ini sebenarnya wujud pula satu lagi konsep yang amat penting iaitu orang-orang Islam harus bertolong-tolongan antara satu sama lain. Prinsip ini sebenarnya amat penting dan harus sentiasa diamalkan, muslim tidaklah sepatutnya bersaingan dan berlumba-lumba dalam segala perkara tanpa tujuan yang jelas dan tertentu. Persaingan yang sihat sememangnya digalakkan, tetapi persaingan yang sengit dalam mengumpul harta sehingga boleh membawa kepada keburukan seperti pembunuhan, kecurian, perompakan, penipuan dan kegiatan yang telah diharamkan dalam Islam. Atas dasar inilah prinsip tolong menolong amat penting sekali.
Perlu diingatkan bahawa, segala perniagaan yang dijalankan seharusnya bebas daripada segala larangan termasuk riba, gharar, ikhtikar, penindasan, penipuan, pembaziran dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, pemahaman tentang perniagaan berteraskan kewangan islam perlulah difahami dan dihayati oleh semua mahasiswa sebelum menceburi bidang perniagaan. Hal ini penitng untuk memastikan perniagaan yang diceburi tidak bercanggah dan selari dengan syariat Islam. Pemahaman dan penghayatan ini perlulah secara menyeluruh dan barulah mampu untuk melahirkan usahawan siswa berjaya dan patuh syariat.
Imran Razalle
Fakulti Syariah dan Undang-undang
"Minda Kritis, Siswa Kreatif"
SEKRETARIAT SAHABAT KEMBARA ILMU
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
Blog :skil-usim.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan